KUALA LUMPUR, 21 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia hari ini mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi menilai aspek keselamatan kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak susulan persediaan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata mesyuarat berkenaan diadakan di kediaman Najib di sini, namun lokasi pelaksanaan tahanan rumah masih belum dimuktamadkan kerana pihak berkuasa belum menerima dokumen perintah rasmi.
“Lokasi pelaksanaan tahanan rumah belum dimuktamadkan sebab perintah itu kita belum terima lagi. Perkara itu akan dimuktamadkan apabila perintah itu diperoleh dan akan ada syarat-syarat tertentu,” katanya kepada pemberita di hadapan kediaman Najib di sini hari ini.
Anuar Bakri berkata PDRM hadir bagi menilai aspek keselamatan di luar kawasan kediaman, manakala Jabatan Penjara memberi tumpuan kepada urusan berkaitan tahanan.
“Setakat ini belum ada perincian lagi, cuma kita buat penilaian tempat tinggal Najib. Pihak Jabatan Penjara minta pihak polis hadir bersama untuk melihat aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata penilaian berkenaan merupakan sebahagian daripada penyelarasan antara kedua-dua agensi bagi memastikan aspek keselamatan di kediaman berkenaan dapat dinilai.
Mengulas kawalan keselamatan di kawasan kediaman itu, Anuar Bakri menafikan dakwaan bahawa struktur tambahan seperti kawat atau pagar besi khas akan dipasang.
Pada Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Najib, bekas Ahli Parlimen Pekan, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd dan mula menjalani hukuman pada 23 Ogos 2022.
