KUALA LUMPUR, 21 Sept – Terengganu dijangka menjadi venue baharu bagi acara endurance sukan ekuestrian pada Sukan SEA Malaysia 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata Kerajaan Negeri Terengganu telah menyatakan minat secara rasmi untuk menganjurkan disiplin berkenaan.
Katanya, Terengganu turut mempunyai pengalaman luas menganjurkan kejohanan endurance bertaraf antarabangsa, namun cadangan itu masih perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk tahap kesiapsiagaan venue.
“Setakat ini, belum ada keputusan, tetapi kita menjangkakan disiplin endurance untuk sukan ekuestrian akan dibuat di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kerjasama antara MASOC dengan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di sini hari ini.
Rashid berkata walaupun Terengganu bukan sebahagian daripada empat kluster utama Sukan SEA Malaysia 2027, negeri itu mempunyai kelebihan dari segi kemudahan dan pengalaman penganjuran acara antarabangsa.
“Trek endurance yang terbaik adalah di Terengganu kerana sekurang-kurangnya tiga kali setahun acara endurance antarabangsa dijalankan di negeri ini.
“Jadi, tahap kesiapsiagaan mereka dari segi penganjuran acara memang sangat tinggi,” katanya.
Sebelum ini, empat kluster utama Sukan SEA Malaysia 2027 ditetapkan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sarawak dan Pulau Pinang.
Langkawi pula dikenal pasti sebagai antara lokasi sesuai bagi penganjuran acara pelayaran.
