SIBU, 12 Nov (Bernama) —Hak pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak terus dilindungi menerusi proses pengukuran berdasarkan permohonan dan persetujuan pihak berkepentingan bagi mengelakkan pertikaian sempadan serta pencerobohan tanah.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata setiap permohonan pengukuran perlu diteliti dan bukti pemilikan disahkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi memastikan tuntutan berkenaan sah di sisi undang-undang.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan melaksanakan pengukuran secara sewenang-wenangnya tanpa sesi libat urus dan persetujuan pemilik atau penuntut tanah.
“Kita menetapkan bahawa pengukuran mesti dibuat melalui permohonan. Sebelum kerja pengukuran dilaksanakan, kita mengadakan sesi libat urus dan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
“Kita tidak mahu timbul salah faham atau dakwaan kononnya kerajaan cuba merampas tanah rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera, Surat Hak Milik Tanah dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Sibu di sini hari ini.
Awang Tengah berkata pengukuran tanah NCR tidak akan dilaksanakan sekiranya tanah yang dituntut masih mempunyai pertikaian atau kes berkaitan sedang dibicarakan di mahkamah sehingga perkara itu diselesaikan.
Beliau berkata sejak inisiatif baharu pengukuran tanah NCR dilaksanakan pada 2010 hingga 31 Okt lepas, sebanyak 1,248,659 hektar tanah telah diukur secara perimeter, dengan 979,434 hektar daripadanya diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.
Awang Tengah berkata sebanyak 112,717 lot individu melibatkan keluasan 135,332 hektar berjaya diukur, manakala 40,796 lot seluas 60,727 hektar telah dikeluarkan surat hak milik dalam tempoh sama.
Pada majlis itu, sebanyak 167 surat hak milik tanah diserahkan kepada 158 penerima, selain pewartaan Rizab Komunal Bumiputera melibatkan lima kawasan seluas 21,942.13 hektar di Sibu dan Kanowit.
Kerajaan negeri turut menyerahkan pampasan tanah berjumlah RM12.69 juta kepada 165 penerima yang terlibat dalam lima projek pembangunan di bahagian Sibu.
