KOTA BHARU, 12 Nov (Bernama)–Bagi ribuan anak kelahiran Pantai Timur yang mencari rezeki di Lembah Klang, kepulangan ke kampung halaman sering sinonim dengan tempoh perjalanan yang panjang dan kesesakan luar biasa, khususnya menjelang musim perayaan dan cuti panjang.
Situasi itu bakal berubah tidak lama lagi apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan memulakan operasi pada 12 Disember. Perkhidmatan ini memendekkan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu kepada kira-kira empat jam, sekali gus memberi pilihan yang lebih cepat dan selesa kepada mereka yang ingin pulang ke kampung.
Peluang yang diberikan kepada warga media untuk menaiki ECRL dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu berjaya memberikan gambaran awal mengenai keupayaan perkhidmatan rel itu. Ia bukan sahaja memendekkan tempoh perjalanan, malah menyediakan kemudahan yang sesuai dengan keperluan penumpang sepanjang perjalanan.
Jika sebelum ini perjalanan ke Kota Bharu dengan kenderaan persendirian boleh mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam, ECRL menawarkan penjimatan masa yang ketara. Penumpang boleh berehat tanpa perlu memikirkan keadaan trafik, keletihan memandu atau mencari tempat persinggahan.
Aspek keselesaan segera menarik perhatian sebaik melangkah masuk ke dalam tren. Ruang kaki yang luas dan susun atur tempat duduk mewujudkan suasana yang lebih selesa. Bagi kelas ekonomi, tempat duduk disusun dalam konfigurasi 2-3, manakala kelas perniagaan menawarkan susunan 2-2.
Kemudahan pengecasan menerusi sambungan USB, USB-C dan soket tiga pin tersedia pada tempat duduk, membolehkan penumpang terus menggunakan peranti elektronik tanpa bimbang kehabisan bateri. Kemudahan WiFi juga disediakan.
Dari segi kelancaran perjalanan, pergerakan tren yang stabil memberikan pengalaman berbeza. Gegaran yang dirasai adalah minimum meskipun tren bergerak pada kelajuan antara 150 hingga 160 kilometer sejam, berdasarkan paparan kelajuan pada skrin.
Ujian kestabilan dengan meletakkan sekeping syiling di atas permukaan meja ketika tren bergerak mendapati syiling tersebut kekal tegak selama beberapa saat. Skrin digital turut memaparkan pelbagai maklumat termasuk kelajuan tren, suhu, destinasi dan arahan kepada penumpang sepanjang perjalanan.
Aspek keselamatan juga diberi perhatian menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta kehadiran kru dalam tren yang sentiasa menjalankan pemeriksaan dan sedia memberikan bantuan.
Salah seorang kru, H. Thinagaran, berkata pengalaman selama 15 tahun sebagai pramugara Malaysia Airlines akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan penumpang ECRL menikmati tahap keselesaan dan kemudahan yang sewajarnya.
Beliau berkata kru ECRL telah menjalani program latihan selama dua bulan setengah, termasuk sebulan di China, bagi mempersiapkan mereka memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kita akan memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan sepanjang perjalanan,” katanya.
Satu lagi kemudahan yang menarik perhatian ialah ruang solat yang disediakan khusus untuk penumpang beragama Islam. Ia dilengkapi kemudahan mengambil wuduk dengan reka bentuk singki yang lebih luas di bahagian bawah bagi memudahkan penumpang membasuh kaki.
Selaras dengan keperluan perjalanan jauh, kafe turut disediakan untuk kemudahan penumpang mengisi perut dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman serta menghabiskan masa sebelum tiba ke destinasi.
Sementara menikmati hidangan dan kemudahan lain, penumpang juga berpeluang menyaksikan keindahan landskap sepanjang perjalanan, termasuk penempatan penduduk dan kehijauan alam sekitar di Pantai Timur, sekali gus memberikan pengalaman berbeza berbanding perjalanan melalui lebuh raya.
Untuk makluman, tempoh perjalanan dari Gombak ke KotaSAS, Kuantan mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit, manakala perjalanan ke Kuala Terengganu sekitar tiga jam dan Kota Bharu kira-kira empat jam.
Secara keseluruhannya, pengalaman menaiki ECRL memperlihatkan bahawa kelebihan perkhidmatan rel itu bukan hanya terletak pada kelajuan, tetapi turut merangkumi keselesaan, kemudahan dan pengalaman perjalanan yang lebih santai.
Bagi mereka yang berasal dari negeri di Pantai Timur dan sekian lama menjadikan perjalanan pulang ke kampung sebagai rutin yang memerlukan perancangan masa dan tenaga, kehadiran ECRL mampu mengubah pengalaman tersebut. Ia sekali gus memperkukuh hubungan sosial serta membuka ruang baharu kepada mobiliti dan kegiatan ekonomi di Pantai Timur.
