TELUK INTAN, 12 Nov (Bernama) —Ketika sebahagian penduduk terjejas banjir memilih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan, terdapat juga mangsa di Kampung Batu 7 dan Batu 7 ½, Jalan Changkat Jong dekat sini yang enggan berpindah kerana bimbang kediaman mereka dipecah masuk.
Seorang penduduk, Mohd Azam Ramli, 51, berkata keputusan untuk terus berada di rumah ketika banjir sudah menjadi rutin tahunannya bagi memastikan keselamatan kediaman serta barangan berharga.
Sebagai abang sulung daripada enam beradik, beliau mengambil tanggungjawab menjaga rumah keluarga di Kampung Batu 7 ½, manakala adik-beradiknya yang lain berpindah ke PPS.
“Pengalaman jiran serta mangsa banjir lain yang kehilangan barangan berharga ketika berpindah ke PPS sebelum ini membuatkan keluarga kami lebih berhati-hati untuk meninggalkan rumah tanpa pengawasan.
“Saya bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menceroboh rumah yang ditinggalkan kosong, terutama pada waktu malam apabila kawasan kampung gelap dan sukar dipantau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Azam berkata dengan berada di rumah, beliau juga dapat memastikan barangan elektrik dan perabot yang dialihkan ke tempat lebih tinggi sentiasa berada dalam keadaan terkawal ketika ahli keluarganya berlindung di PPS.
Sementara itu, Egemi Jelaini, 65, dari Kampung Batu 7, berkata beliau memilih untuk tidak berpindah ke PPS kerana masih mampu bertahan di rumah selain banjir kali ini tidak terlalu buruk berbanding tahun lepas.
Beliau berkata keselamatan dokumen penting dan barangan berharga turut menjadi pertimbangannya kerana lebih yakin menyimpannya di rumah yang berkunci serta berada di bawah pengawasannya sendiri.
“Tambahan pula, PPS yang dibuka sebelum ini terletak berhampiran rumah, tetapi tahun ini lokasinya agak jauh di tengah pekan,” katanya.
Dua PPS dibuka sejak 6 Nov lepas bagi menempatkan mangsa banjir terlibat, iaitu di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Dewan MPTI Langkap.
Setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak menurun sedikit kepada 301 orang daripada 87 keluarga berbanding 304 orang daripada 90 keluarga pagi tadi.
