MELAKA, 14 Nov (Bernama) — Meskipun sudah menjangkau usia 70 tahun dan tidak lagi mampu berdiri akibat kecederaan pinggul, keadaan itu tidak menghalang seorang warga emas daripada menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil hari ini.
Keadaan fizikal Yusof Taib yang terbatas selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh kira-kira 16 tahun lepas tidak mematahkan semangatnya untuk keluar mengundi demi memilih pemimpin yang bakal menerajui negeri ini.
Anak jati Melaka itu yang menggunakan kerusi roda dengan Jalur Gemilang disangkut pada bahagian belakang kerusi berkenaan hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, dan selesai mengundi kira-kira 8.15 pagi.
Selepas selesai mengundi, beberapa petugas media turut membantu serta menemani Yusof pulang ke kediamannya di Lorong Kaloi yang terletak berhampiran dengan pusat mengundi berkenaan.
Berkongsi semangatnya untuk keluar mengundi, Yusof berkata dia mahu setiap pengundi mengambil peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing demi menentukan masa depan negeri itu.
“Semua datanglah mengundi, tunaikan tanggungjawab untuk kita memilih pemimpin terbaik bagi Melaka ini,” katanya kepada pemberita.
Dia turut berharap supaya pemimpin yang dipilih dapat membawa lebih banyak kemajuan kepada negeri itu, sekali gus memastikan kehidupan rakyat terus terbela.
Yusof, yang berasal dari Kampung Paya Ikan dan pernah bekerja sebagai tukang rumah, mengalami kecederaan pada tulang pinggul akibat terjatuh sehingga memerlukan pemasangan dua batang besi dan lapan skru.
Sejak itu, warga emas tersebut tidak lagi mampu berdiri dan bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.
