Produksi teater tari kontemporari legenda Sarawak ini menggandingkan Bob Yusof dan barisan pelakon multi-generasi Malaysia untuk dua pementasan pada 19 dan 20 Disember 2026 ini
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dari Sarawak bakal dihidupkan semula menerusi pementasan teater tari kontemporari di Panggung Sari, Istana Budaya pada 19 dan 20 Disember ini.
Produksi Lagenda Puteri Santubong terbitan Lang Budaya dan arahan Dayang Mariana Abang Bolhassan mengangkat kisah dua beradik itu menerusi gabungan seni tari, muzik dan penceritaan visual dalam pendekatan baharu untuk generasi masa kini.
Produksi berkenaan membabitkan kira-kira 100 penggiat seni daripada pelbagai latar belakang, termasuk penyanyi dan penghibur Bob Yusof serta pelapis muda berusia antara enam hingga 16 tahun yang dipilih menerusi uji bakat.
Pementasan itu diperkenalkan secara rasmi menerusi sidang media dan pratonton khas di Istana Budaya hari ini.
Kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang sarat dengan elemen kasih sayang, persaingan, konflik, pilihan dan perdamaian diterjemahkan menerusi seni tari dan muzik, sekali gus memberikan perspektif baharu terhadap legenda yang diwarisi turun-temurun.
Pengarah muzik Shamsul Zain bersama barisan komposer kolaboratif turut menghasilkan karya muzik asal khusus untuk produksi berkenaan bagi mengiringi perjalanan emosi dan penceritaan menerusi gerakan.

Dayang Mariana berkata pementasan di pentas nasional itu cukup bermakna kerana membolehkan legenda dari Sarawak diperkenalkan kepada khalayak lebih luas.
“Sebagai anak jati Sarawak, membawa legenda Puteri Santubong ke pentas nasional Malaysia ini amat bermakna buat saya.
“Walaupun cerita ini berasal dari Sarawak, tema kekeluargaan, kasih sayang, persaingan dan perdamaian yang dipaparkan adalah pengalaman yang dekat di hati semua penonton.
“Menerusi produksi ini, saya berharap dapat menghargai akar budaya asalnya sambil mempersembahkannya dengan nafas baharu, memikat dan bermakna buat generasi baharu,” katanya.
Sementara itu, Bob Yusof yang berperanan sebagai pencerita dan penyanyi berkata penglibatannya dalam produksi itu memberi peluang untuk beliau menyampaikan kisah asal usul Sarawak menerusi pendekatan teater tari.
“Puteri Santubong ialah kisah yang sangat dekat dengan Sarawak dan penglibatan saya dalam membawa naskhah ini ke pentas nasional amat bermakna.
“Sebagai pencerita dan penyanyi, peranan saya adalah untuk membantu membawa penonton menjiwai perjalanan ini, berganding bahu dengan penari dan muzik bagi menghidupkan penceritaan dalam dimensi yang berbeza,” katanya.
Penglibatan pelapis muda berusia enam hingga 16 tahun turut menjadi antara elemen utama produksi itu, dengan mereka diberi peluang berkongsi pentas bersama penggiat seni berpengalaman.
Selain memperoleh pengalaman persembahan, penyertaan itu memberi ruang kepada generasi muda mempelajari disiplin seni persembahan serta memahami nilai warisan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Usaha mengangkat legenda Sarawak ke pentas nasional turut mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia, selain memperlihatkan bagaimana cerita tradisional mampu terus berkembang mengikut perubahan zaman tanpa mengetepikan akar asalnya.
Dalam sesi bual santai semasa sidang media, Dayang Mariana, Pengarah Produksi Istana Budaya Hanida Mohamed Yusof, Bob Yusof, Shamsul Zain dan Pengarah Teknikal Tan Eng Heng turut berkongsi pandangan mengenai proses kreatif, teknikal dan usaha memperkenalkan cerita tradisional kepada generasi baharu.
Lagenda Puteri Santubong akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Disember 2026.
