KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia hari ini melancarkan Program PKS@BURSA, satu inisiatif strategik yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengakses pasaran modal melalui penyenaraian di Bursa Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi program tersebut sehingga tahun 2030 dengan menyasarkan 200 PKS dalam membina saluran yang lebih kukuh bagi melahirkan syarikat-syarikat yang bersedia untuk disenaraikan pada masa hadapan.
Menurut YB Steven Sim, syarikat yang menyertai PKS@BURSA turut layak menerima rebat sehingga 20 peratus sekiranya berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun sekali gus membantu mengurangkan kos persediaan penyenaraian serta menggalakkan lebih banyak PKS berpotensi tinggi untuk mengakses pasaran modal.
“PKS@BURSA dirangka bagi menangani dua cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat yang sedang berkembang, iaitu kos persediaan untuk penyenaraian dan keperluan keupayaan yang diperlukan untuk memasuki pasaran modal.
“Melalui program ini, kita mahu menyediakan laluan yang lebih jelas kepada PKS Malaysia yang berpotensi untuk berkembang, memperluaskan operasi dan akhirnya mendapatkan akses kepada modal pertumbuhan melalui Bursa Malaysia,” kata beliau ketika berucap pada program “Road to IPO” anjuran Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Steven Sim turut merakamkan penghargaan kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atas peranannya dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan perusahaan. Beliau berkata skim jaminan pembiayaan yang ditawarkan oleh CGC telah membantu merapatkan jurang pembiayaan yang sering dihadapi oleh syarikat yang sedang berkembang sebelum mereka bersedia mengakses pasaran modal dan meneruskan perjalanan ke arah penyenaraian. Setakat ini, CGC telah meluluskan pembiayaan berjumlah kira-kira RM300 juta bagi membantu syarikat-
syarikat tempatan berkembang dan memperkukuh kedudukan mereka dalam perjalanan ke arah penyenaraian.
Program PKS@BURSA merangkumi dua komponen utama.
Komponen pertama ialah Dana Penyenaraian PKS yang menawarkan pembiayaan antara RM2 juta hingga RM5 juta pada kadar keuntungan 5 peratus setahun bagi tempoh sehingga lima tahun. Pembiayaan ini boleh digunakan bagi tujuan modal kerja, perbelanjaan modal dan keperluan pembiayaan korporat yang berkaitan dengan persediaan penyenaraian. Syarikat yang berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun turut layak menerima rebat sehingga 20 peratus.
Komponen kedua ialah Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan PKS yang menyediakan latihan berstruktur, seminar, bengkel, program jelajah (roadshow) serta sokongan bimbingan secara satu-ke-satu melibatkan penasihat penyenaraian, juruaudit, ejen cukai dan pakar tadbir urus korporat.
Program ini juga menyediakan bimbingan dan latihan berkaitan tadbir urus korporat, pematuhan serta kesiapsiagaan pasaran modal dengan kerjasama CGC, Bursa Malaysia dan rakan-rakan ekosistem lain.
Syarikat yang layak menyertai program ini perlu mempunyai penarafan SCORE sekurang-kurangnya tiga bintang oleh SME Corp. Malaysia, kedudukan kewangan yang positif dan stabil serta menunjukkan kesediaan untuk meneruskan proses penyenaraian di Bursa Malaysia.
(Maklumat lanjut mengenai SCORE boleh didapati di: https://mybpi.smecorp.gov.my/registration/Info%20Pack%20SCORE.pdf)
Steven Sim berkata, PKS@BURSA menyokong aspirasi Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh ekosistem pasaran modal negara dan memperluaskan akses kepada pembiayaan pertumbuhan bagi perusahaan tempatan.
“Malaysia tidak pernah kekurangan usahawan atau perniagaan. Cabaran seterusnya ialah membantu lebih banyak syarikat bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi, berkembang menjadi juara nasional dan bersaing pada tahap yang lebih tinggi.
“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak syarikat tersenarai, tetapi untuk melahirkan lebih banyak syarikat yang berkeupayaan untuk disenaraikan. PKS@BURSA merupakan salah satu laluan bagi merealisasikan matlamat tersebut,” katanya.
