NEW DELHI, 10 Sept (Bernama) — New Delhi memperketat kawalan keselamatan dan protokol pergerakan termasuk melaksanakan lencongan lalu lintas di beberapa laluan utama menjelang Sidang Kemuncak BRICS ke-18 yang berlangsung di sini hujung minggu ini.
Menurut laporan, kira-kira 25,000 anggota keselamatan termasuk polis trafik, pasukan separa tentera dan Pengawal Keselamatan Negara (NSG) dikerahkan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan para pemimpin dan delegasi.
Kawalan keselamatan dipertingkat terutama di sekitar Bharat Mandapam, pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi persidangan.
Sidang kemuncak yang dihoskan Perdana Menteri India Narendra Modi itu bertemakan “Membina Daya Tahan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan dalam perdagangan dan pelaburan.
Para pemimpin dijangka turut bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama intra-BRICS, keutamaan bersama serta isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota dan negara rakan BRICS serta beberapa jemputan lain.
Antara pemimpin negara anggota yang dijangka hadir ialah Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden China Xi Jinping, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Turut dijadualkan hadir ialah pemimpin negara rakan termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed.
Di bawah kepengerusian India tahun ini, lebih 350 mesyuarat dan sesi libat urus peringkat tinggi telah diadakan di lebih 25 bandar di seluruh negara bagi memperkukuh perkongsian strategik BRICS menerusi tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan kewangan serta hubungan sesama rakyat.
BRICS merupakan forum penyelarasan politik dan diplomatik negara-negara Selatan Global serta platform kerjasama dalam pelbagai bidang.
Kumpulan itu pada asalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011.
Pada 2023, Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai kumpulan itu, diikuti Indonesia pada 2024.
Malaysia bersama Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan diterima sebagai negara rakan BRICS.
India, sebagai anggota pengasas BRICS, sebelum ini memegang jawatan pengerusi sebanyak tiga kali pada 2012, 2016 dan 2021 sebelum mengambil alih kepengerusian untuk kali keempat pada 1 Jan 2026.
