GEORGE TOWN, 8 Sept (Bernama) — Malaysia sedang mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara pada masa hadapan, namun kerajaan belum membuat keputusan untuk menggunakannya sebagai sumber tenaga.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata kerajaan kini melaksanakan persediaan awal membabitkan pembangunan teknologi, bakat serta kerangka kawal selia bagi memastikan negara bersedia sekiranya tenaga nuklear dipertimbangkan pada masa hadapan.
“Sudah tentu kita sedang melakukan kerja persediaan. Ia tidak bermakna kita telah membuat keputusan tetapi kita perlu bersedia supaya kerangka kawal selia serta bakat sudah bersedia dan pada masa sama juga perlu memastikan industri juga bersedia.
“Tiga bidang di bawah portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan usaha kesiapsiagaan tenaga nuklear ialah pembangunan teknologi, bakat dan kawal selia manakala bidang lain akan dipertimbangkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) 2026 edisi kesembilan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini hari ini.
Turut hadir Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican.
Chang berkata peningkatan permintaan tenaga negara susulan perkembangan sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan termaju, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data berskala mega memerlukan Malaysia mempertimbangkan pelbagai pilihan bagi memenuhi keperluan tenaga jangka panjang.
Beliau berkata kesiapsiagaan tenaga nuklear bukan sekadar melibatkan penilaian teknologi, malah memerlukan keupayaan saintifik dan kejuruteraan yang kukuh, kerangka kawal selia serta keselamatan yang mantap, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kesediaan industri tempatan.
“Malaysia mesti memastikan pertumbuhan ekonomi dan teknologi disokong oleh sumber tenaga yang selamat, berpatutan dan semakin mampan selain memperkukuh keupayaan dalam teknologi strategik dan teknologi memuncul termasuk AI, bahan termaju, angkasa lepas dan teknologi nuklear,” katanya.
Chang berkata usaha itu selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2030 yang menetapkan hala tuju strategik untuk memperkukuh keupayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara melalui penyelidikan dan pembangunan, pembangunan bakat sedia masa depan, penerimaan teknologi dan inovasi.
Beliau berkata aspirasi STI Malaysia turut diperluas ke peringkat serantau dengan kerjasama lebih erat ASEAN diperlukan dalam bidang termasuk ketersambungan tenaga, infrastruktur digital, penyelidikan dan teknologi memuncul.
Kerjasama itu penting bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing rantau ASEAN berdepan perubahan teknologi pesat, cabaran iklim serta ketegangan geopolitik, katanya.
