KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Sept untuk mendengar keterangan tambahan saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah, dalam kes projek solar hibrid membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan Mahkamah Rayuan pada 1 Sept membenarkan permohonan anak guamnya untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes berkenaan.
Jagjit berkata Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Mahkamah Tinggi merekodkan keterangan tambahan Rayyan Radzwill dalam tempoh dua minggu.
“Saya perlu menetapkan tarikh kerana perintah Mahkamah Rayuan itu agak jelas. Saya fikir kita akan menetapkan tarikh pendengaran selaras dengan perintah Mahkamah Rayuan sehingga permohonan penangguhan diluluskan.
“Sekiranya penangguhan diberikan, kita akan menentukan langkah seterusnya. Jika tidak, kita akan meneruskan prosiding seperti yang diperintahkan Mahkamah Rayuan,” kata Aslam.
Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair bagaimanapun memohon prosiding ditangguhkan sehingga permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan didengar.
Beliau berkata pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada 4 Sept berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu, selain memfailkan permohonan penangguhan pada 8 Sept.
“Kami telah mengemukakan notis supaya perkara ini didengar segera. Berkemungkinan besar akan didengar minggu depan,” katanya.
Deepa berkata rayuan Rosmah telah berlarutan sejak 2022 dan pihak pembelaan tidak akan terjejas sekiranya prosiding ditangguhkan untuk tempoh satu atau dua minggu.
Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader membantah permohonan penangguhan itu dan berkata Mahkamah Rayuan telah mengarahkan perkara berkenaan diputuskan dalam tempoh dua minggu.
“Kami hanya memerlukan masa sehari. Saya yang menjalankan pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi sebelum ini dan akan mengendalikannya sekali lagi di sini,” katanya.
Pada 1 Sept, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan Rosmah mengemukakan bukti tambahan melalui pemeriksaan balas lanjut dan pemeriksaan semula terhadap Rayyan Radzwill.
Bukti tambahan itu terdiri daripada laporan polis dan akuan berkanun yang disahkan Rayyan Radzwill.
Dalam akuan berkanun berkenaan, Rayyan Radzwill antara lain mendakwa wujud tekanan daripada pihak pendakwaan ketika perbicaraan serta mengemukakan bahan dokumentari bagi mencabar kredibiliti keterangannya.
Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau didapati bersalah meminta suapan RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain denda RM970 juta.
Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
