SEREMBAN, 10 Sept (Bernama) — Seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal tanpa permit penggunaan.
Hakim Shahrul Rizal Majid turut memerintahkan Lee Kai Sang, 61, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Lee didakwa menanam pokok limau kasturi, durian dan pisang selain menternak lebah kelulut serta ikan air tawar dalam kolam tanpa permit penggunaan di Kompartmen 55, Hutan Simpan Angsi, di sini, pada 10.13 pagi, 12 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai di Negeri Sembilan menerusi Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakaian) 1986.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Subseksyen 32(2) enakmen sama dengan denda maksimum RM100,000, penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Muhammad Hanis Zulkapli memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira rekod pembayaran permit penggunaan Hutan Simpan Angsi yang kali terakhir dibuat oleh Lee pada 2017.
Beliau berkata perkara itu menunjukkan tertuduh mengetahui penggunaan tanah berkenaan memerlukan permit, namun masih mengusahakannya selama kira-kira lapan tahun tanpa permit.
“Tanah berkenaan termasuk dalam kawasan yang memerlukan permit penggunaan dalam Hutan Simpanan Kekal dan penggunaan tanah itu tanpa bayaran permit menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan negeri sejak 2018,” katanya.
Dalam rayuannya, Lee berkata beliau menandatangani perjanjian dengan pemilik lain pada 2019 dan membayar sewa tanah berkenaan setiap bulan sejak 2014.
“Saya menampung perbelanjaan harian melalui hasil tanaman dan ikan yang dijual di pasar pagi manakala isteri pencen guru serta membantu menanggung bayaran perumahan keluarga,” katanya.
