Kuala Lumpur, 12 April 2026 – Aspirasi “Komuniti Aktif, Wilayah Progresif” terus diperkukuhkan apabila Menteri di dakam Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh merasmikan Program Senaman Aerobik Komuniti Wilayah Persekutuan 2026 (PSKWP2026) hari ini di Dataran Perumahan Awam Sri Sabah 3B, Bandar Tun Razak.
Program yang diilhamkan Hannah Yeoh sejak mengambil alih portfolio Wilayah Persekutuan ini merupakan inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP). Ia bertujuan membawa program sukan dan kesihatan yang lebih dekat dengan rakyat, terutamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, serta pegawai kanan agensi berkaitan termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur dan wakil Perbadanan Putrajaya serta Perbadanan Labuan.
PSKWP2026 direka untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti melalui pendekatan yang inklusif, mudah disertai dan berterusan. Program ini dijalankan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang.
Pada hari pelancaran, sesi senaman aerobik berlangsung secara serentak di 25 lokasi PPR/PA di Kuala Lumpur. Sepanjang hujung minggu ini, program akan diperluaskan ke keseluruhan 44 lokasi merangkumi:
- 33 lokasi di Kuala Lumpur
- 6 lokasi di Putrajaya
- 5 lokasi di Labuan
Ia menjadikan PSKWP2026 antara program komuniti berskala besar di Wilayah Persekutuan. Program ini akan dilaksanakan secara mingguan sepanjang tahun 2026.
Pelaksanaan program disokong melalui kerjasama strategik dengan Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (MAFA), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan pelbagai agensi lain bagi memastikan impak yang menyeluruh.
Menurut kenyataan rasmi, program ini dijangka menarik penyertaan konsisten di setiap lokasi dan berpotensi menjadi program “signature” komuniti Wilayah Persekutuan. Ia bukan sahaja mempromosikan kesihatan fizikal, malah diharap dapat mengurangkan tekanan hidup serta menangani isu obesiti dalam kalangan penduduk bandar.
Hannah Yeoh dalam ucapannya menekankan kepentingan program berasaskan komuniti yang benar-benar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Program ini selaras dengan usaha kerajaan untuk membina Wilayah Persekutuan yang lebih progresif dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat secara berterusan.
