PUTRAJAYA, 15 Sept – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang meneroka peluang pelaburan dalam sektor kenderaan elektrik (EV) dan automotif bagi mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi selain sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata beberapa potensi pelaburan sedang dinilai, termasuk projek kenderaan berteknologi tinggi di Kulim, Kedah.
Menurutnya, bakal pelabur dalam sektor EV berkenaan kini sedang melalui proses usaha wajar dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Antaranya ialah projek kenderaan berteknologi tinggi di Kulim, Kedah, yang melibatkan bakal pelabur dalam sektor EV dan mereka sedang melaksanakan proses usaha wajar,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, dua pelabur telah dikenal pasti dalam segmen bateri EV, manakala tiga lagi pelabur dalam segmen automotif sedang dipertimbangkan.
Mohamad Haris berkata usaha mempelbagaikan pelaburan penting memandangkan sektor E&E dan semikonduktor masih menjadi tunjang utama NCER, khususnya di Pulau Pinang, dengan kira-kira 95 peratus pelaburan dijangka tertumpu dalam sektor berkenaan.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang menyasarkan pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030.
Daripada jumlah itu, 70 peratus dijangka disumbangkan sektor utama termasuk E&E, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden.
Sasaran berkenaan meningkat RM126.2 bilion berbanding RM343.8 bilion di bawah pelan pembangunan NCER terdahulu.
Sementara itu, Mohamad Haris berkata tumpuan terhadap E&E dan semikonduktor tidak menjejaskan peluang pelaburan dalam sektor lain, sebaliknya NCER turut berusaha mengembangkan aktiviti ekonomi ke kawasan baharu di empat negeri terlibat, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Katanya, Kulim Hi-Tech Park di Kedah kekal sebagai antara lokasi utama pelaburan, manakala Lembah Chuping di Perlis terus menarik minat dalam sektor semikonduktor.
“Pelbagaian pelaburan juga bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi sampai ke kawasan kurang membangun, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Mohamad Haris yakin sasaran pelaburan RM470 bilion itu mampu dicapai berdasarkan projek yang telah diluluskan dan dijangka diterjemahkan kepada pelaburan sebenar dalam tempoh dua hingga lima tahun.
Beliau berkata sasaran berkenaan turut menyokong matlamat NCER meningkatkan pendapatan isi rumah median kepada RM7,500 menjelang 2030.
Menurutnya, kira-kira 45 peratus daripada sasaran pekerjaan dijangka melibatkan jawatan berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, NCER bekerjasama dengan universiti tempatan, politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri bagi mengenal pasti kemahiran khusus yang diperlukan pelabur.
Usaha itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi keperluan industri bernilai tinggi serta meningkatkan produktiviti dan aktiviti bernilai tambah di wilayah berkenaan.
