PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 – Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman berjaya membongkar satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Operasi khas yang dijalankan pada 20 Mei 2026 sekitar jam 2.00 petang itu melibatkan lima pegawai Pasukan Serbuan KPDN Putrajaya dan empat pegawai PDRM Bukit Aman. Serbuan dibuat berikutan aduan awam serta maklumat risikan yang dikumpul sebelum tindakan diambil.
Menurut kenyataan media KPDN, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan membeli minyak diesel bersubsidi menggunakan fleet card milik pihak lain di stesen minyak. Minyak tersebut kemudian diisi ke dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC), dibawa ke premis stor penyimpanan dan dijual semula kepada sektor industri.
Pemeriksaan di premis stor mendapati tiga unit tangki simpanan yang disambungkan dengan saluran paip. Satu daripadanya mengandungi cecair disyaki minyak diesel sebanyak kira-kira 35,000 liter. Sebuah lori bersama tangki IBC sedang memindahkan kira-kira 2,000 liter minyak diesel ke tangki simpanan, manakala sebuah lagi lori membawa tangki IBC mengandungi kira-kira 6,000 liter cecair yang sama.
Pasukan serbuan menyita dua buah lori, minyak diesel anggaran 43,000 liter, tangki simpanan, hos paip, tangki IBC, fleet card pelbagai jenama serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut. Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM247,198.00.
Tiga individu lelaki berumur 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Bagi individu, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya. Kesalahan kedua pula boleh didenda sehingga RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya. Bagi syarikat atau badan korporat, denda tidak melebihi RM2,000,000 bagi kesalahan pertama dan RM5,000,000 bagi kesalahan kedua.
Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN dalam kenyataan itu menegaskan pihak kementerian akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan dan subsidi yang menjejaskan kepentingan rakyat serta menyebabkan ketirisan subsidi negara.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti sedemikian supaya menyalurkan aduan melalui saluran rasmi berikut:
- WhatsApp: 019-848 8000
- Portal e-Aduan KPDN: eaduan.kpdn.gov.my
- Pusat Panggilan: 1-800-886-800
- Aplikasi Ez ADU KPDN
