Festival MKAI 3.0 yang penuh warna dan semangat melalui tema unik iaitu “Songket Pop” merupakan satu gabungan harmoni antara keindahan warisan tradisional Nusantara dan sentuhan moden yang dinamik. Dianjurkan oleh Sekretariat Misi Kemanusiaan Antarabangsa Indonesia (MKAI) 3.0 Universiti Malaya, Festival MKAI 3.0 2026 yang berlangsung selama tujuh hari ini menghimpunkan lebih 2,000 pelajar universiti serta masyarakat umum dalam sebuah karnival kemanusiaan dan kebudayaan berskala besar.
Festival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang bersifat inklusif dan interaktif seperti Rumah Hantu Tantirana, Persembahan Nyanyian Artis seperti Ara Johari, Drama Band, Tam Spider, Podcast Cerita Apa Hari Ini, Busk and Chill, MLBB Tournaments serta Pulse and Rhythm Zumba. Kepelbagaian aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan, malah menjadi medium strategik dalam memperkukuh hubungan sosial antara komuniti universiti dan masyarakat luar.
Lebih daripada sekadar sebuah festival, Festival MKAI 3.0 2026 berperanan sebagai platform pengumpulan dana bagi menjayakan MKAI 3.0. Inisiatif ini menyokong usaha memperkasa komuniti di Indonesia melalui pelbagai aspek seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, kelestarian alam sekitar, dan pemerkasaan wanita. Dalam masa yang sama, ia membuka ruang kepada para pelajar Universiti Malaya untuk memperoleh pengalaman langsung dalam pengurusan projek sukarelawan di peringkat antarabangsa.
Menurut Pengarah Program, Nur Allisya Suffiah binti Mohd Hedrisham, festival ini bukan sahaja platform untuk mengumpul dana, tetapi juga satu inisiatif penting dalam membentuk generasi belia yang berdaya saing, berempati dan bertanggungjawab terhadap masyarakat global.



Mengimbas kembali kejayaan misi terdahulu, program MKAI 2.0 telah berlangsung di Nagari Batu Kalang, Padang, Indonesia dari 23 hingga 31 Julai 2025 dengan tema “Outreaching Community: Volunteerism with Passion”. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk penanaman rumput vetiver, pemasangan sensor kelembapan tanah, pengajaran STEM dan Bahasa Inggeris, program kesedaran kesihatan, kelas masakan tradisional Malaysia, serta penambahbaikan infrastruktur kampung. Usaha ini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam semangat ASEAN.


Festival MKAI 3.0 ini membawa harapan yang lebih besar dan mendalam. Di sebalik setiap aktiviti, tersirat impian untuk melihat perubahan yang nyata dalam kehidupan komuniti yang disantuni. Usaha kecil seperti pendidikan alam sekitar, pemuliharaan terumbu karang, serta pembangunan kemahiran belia di kawasan seperti Pulau Tidung bukan sekadar program, tetapi adalah langkah penting dalam memastikan kelestarian masa depan mereka.
Lebih daripada sekadar acara hiburan, Festival MKAI 3.0 2026 bertujuan untuk menyemai nilai empati, kasih sayang dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan penganjur, peserta serta pengunjung melalui peningkatan kesedaran terhadap realiti kehidupan masyarakat lain. Setiap sumbangan, tidak kira kecil atau besar, melambangkan harapan dan sokongan bersama dalam mewujudkan perubahan yang bermakna.

Dengan kerjasama padu daripada pelbagai pihak, festival ini menjadi satu gerakan yang mengajak semua untuk menjadi agen perubahan sambil mencipta impak berpanjangan kepada komuniti di Indonesia serta melahirkan generasi masa depan yang lebih prihatin, berilmu dan bertanggungjawab sosial.
