SINGAPURA, 23 Okt (Bernama) — Tianjin Pharmaceutical Da Ren Tang Group, antara syarikat farmaseutikal tertua di China, menjalinkan kerjasama dengan Singapore General Hospital (SGH) untuk menjalankan ujian klinikal antarabangsa bagi menilai keberkesanan produk utamanya, Suxiao Jiuxin Pills, yang digunakan dalam rawatan berkaitan jantung.
Kajian itu akan menggunakan kaedah percubaan terkawal secara rawak dan dwibuta, sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha menilai ubat proprietari perubatan tradisional Cina (TCM) menerusi penyelidikan klinikal di hospital perubatan Barat utama di Singapura.
Menurut laporan China News Service (CNS), Pengerusi Da Ren Tang merangkap Presiden Tianjin Pharmaceutical Group Wang Lei mengumumkan kerjasama itu ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Perubatan Cina Sedunia ke-23 di Singapura pada Sabtu.
Beliau berkata pendekatan holistik dan diagnosis berasaskan corak dalam TCM, yang mempunyai sejarah kira-kira 500 tahun, berpotensi menyumbang kepada usaha menangani cabaran penuaan penduduk dan penyakit kronik di seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa industri TCM perlu membuktikan keberkesanan rawatannya menerusi bukti saintifik yang boleh disahkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kami sentiasa berpendirian bahawa perubatan tradisional Cina tidak seharusnya terhad kepada eksport produk semata-mata,” katanya, sambil menambah bahawa ujian klinikal itu dijangka menghasilkan bukti klinikal yang boleh dinilai mengikut piawaian antarabangsa.
Menurut laporan CNS, Da Ren Tang berharap hasil kajian itu dapat membantu memperluas penerimaan perubatan tradisional dalam sistem kesihatan negara lain serta meningkatkan akses pesakit antarabangsa kepada rawatan berkenaan.
Wang turut menyeru usaha menyelaraskan piawaian TCM dengan peraturan antarabangsa, membangunkan platform perkongsian hasil penyelidikan dan memperkenalkan perubatan tradisional Cina kepada masyarakat global.
Da Ren Tang mempunyai sejarah farmasi sejak 1522 dan disenaraikan di Bursa Saham Singapura sejak 1997.
Syarikat itu memiliki 122 produk eksklusif dan 599 nombor kelulusan ubat, selain memasarkan lebih 150 produk di lebih 20 negara. Ia juga merupakan antara lima pengeksport terbesar produk perubatan tradisional Cina di China.
