KUALA LUMPUR, 18 Okt – Malaysia memanfaatkan pengalaman penganjuran Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Wilayah Aichi, Hideaki Ohmura, dan Datuk Bandar Nagoya, Ichiro Hirosawa, di Nagoya Harbor Hall, Jepun, sempena Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Chan Hong Jin; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dato’ Sri Megat D. Shahriman Zaharudin; serta Setiausaha Agung MPM, Laksamana Pertama (B) Dato’ Subramaniam Raman Nair.


Menurut Mohammed Taufiq, pengalaman Aichi-Nagoya menganjurkan Sukan Asia diikuti Sukan Para Asia memberi peluang kepada Malaysia untuk mempelajari secara langsung aspek pengurusan dan pelaksanaan kedua-dua temasya berkenaan.

Beliau berkata Malaysia bakal melaksanakan format penganjuran yang sama pada tahun depan, dengan Sukan SEA berlangsung pada 18 hingga 29 September 2027, diikuti Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur.
“Saya berpeluang menyaksikan sendiri kedua-dua temasya, iaitu Sukan Asia bulan lalu dan Sukan Para Asia kali ini. Format penganjuran di Aichi-Nagoya sama seperti yang akan kita laksanakan tahun hadapan, iaitu temasya sukan pelbagai acara diikuti Sukan Para. Banyak yang boleh kita pelajari daripada pengalaman mereka,” katanya.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah pengurusan sukarelawan, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran kedua-dua temasya di Aichi-Nagoya.
Pengalaman tersebut dijangka membantu Malaysia merancang penglibatan sukarelawan dengan lebih berkesan bagi memastikan kelancaran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
