BATU PAHAT, 3 Okt (Bernama) — Anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam nahas di KM72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing semalam tidak menyangka kemalangan yang pada awalnya disangka biasa itu meragut nyawa ibu dan bapanya.
Ain Zanariah Mislan, 33, berkata dia menerima berita kereta dinaiki ibunya Nor Azilah A Rahman, 49, dan bapanya Mislan Osman, 54, bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari Endau, Mersing, selepas menghantar nenek mereka.
Beliau berkata ketika menerima panggilan kira-kira 5.30 petang semalam, dia sedang berada di tempat kerja sebelum suaminya, Mohd Hazerul, 33, memaklumkan bahawa ibu dan bapanya telah meninggal dunia, manakala dua adiknya yang turut berada dalam Hyundai Matrix itu cedera.
“Pada mulanya saya menyangka ia kemalangan biasa. Suami cuba menghubungi telefon bimbit adik tetapi orang lain yang menjawab dan memaklumkan ibu serta ayah telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya dimaklumkan individu yang menjawab telefon adik merupakan pemandu yang berada betul-betul di belakang kereta mereka. Kami juga membuat panggilan video dengan individu berkenaan dan paling sebak apabila melihat sendiri keadaan ibu bapa kami yang tersepit dalam kereta,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Pulai di sini hari ini.
Ain Zanariah berkata perubahan bapanya sejak seminggu sebelum kejadian turut menjadi perkara yang sukar dilupakan keluarga apabila lelaki itu kerap mengemas kawasan rumah, termasuk menyapu dan memotong rumput, sedangkan perkara itu bukan kebiasaannya.
“Arwah ayah dalam masa seminggu ini dia membersihkan kawasan rumah dengan sebersih-bersihnya, menyapu, memotong rumput dan sebagainya, seolah-olah dia tahu ramai orang akan datang ke rumah,” katanya.
Semalam, media melaporkan pasangan suami isteri maut manakala dua anak perempuan mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di KM72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan kira-kira 5 petang itu membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Kluang menuju Kahang dan Hyundai Matrix dari arah bertentangan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati Hyundai Matrix yang dipandu lelaki tempatan berusia 54 tahun itu dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan.
