KAKAMIGAHARA, 3 Okt (Bernama) — Penantian skuad hoki lelaki Malaysia untuk kembali ke pentas Olimpik berterusan selepas tewas 1-5 kepada India pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gifu Prefectural Green Stadium di sini malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal memanfaatkan peluang di Sukan Asia untuk meraih pingat emas yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Peluang sama turut terlepas pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.
India, selaku juara bertahan, membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi kapten Harmanpreet Singh melalui pukulan sudut penalti.
Malaysia bangkit menyamakan kedudukan tiga minit kemudian apabila Shello Silverius meledak menerusi pukulan deras dari dalam petak D untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan terus meningkatkan intensiti permainan sebelum Jugraj Singh kembali meletakkan India di depan pada minit ke-23.
Memasuki suku ketiga, India terus mengasak dan memperoleh dua pukulan sudut penalti, dengan salah satu daripadanya menghasilkan penalti strok.
Hardik Singh menyempurnakan penalti strok pada minit ke-42 untuk melebarkan kelebihan India kepada 3-1.
India terus menguasai permainan pada suku terakhir apabila Shilanand Lakra menambah gol pada minit ke-54 sebelum Harmanpreet melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan kedua tiga minit kemudian untuk memastikan kemenangan 5-1 dan kejuaraan kali kelima India.
Malaysia masih belum pernah memenangi pingat emas hoki lelaki di Sukan Asia. Pencapaian terbaik negara ialah pingat perak pada edisi 2010 di Guangzhou selepas tewas kepada Pakistan dan 2018 di Jakarta-Palembang selepas tunduk kepada Jepun.
Kekalahan itu bermakna Malaysia perlu melalui laluan lain untuk memburu tiket ke Olimpik LA28.
Kali terakhir skuad hoki lelaki negara beraksi di pentas Olimpik ialah pada edisi Rio 2016 di Brazil.
