KUALA LUMPUR, 4 Okt — Kira-kira 100 kenderaan Lamborghini menyemarakkan Citrawarna Speed Festival 2026 menerusi “Konvoi Eksklusif Lamborghini 2026” dari Putrajaya ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor hari ini.
Konvoi anjuran bersama Tourism Malaysia dan Lamborghini Owners Malaysia (LOM) itu merupakan antara pengisian Citrawarna Speed Festival 2026 dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan kepelbagaian pengalaman.
Konvoi berkenaan dilepaskan dari IOI City Mall, Putrajaya pada tengah hari sebelum bergerak menuju SIC mengikut laluan ditetapkan.


Setibanya di SIC, kenderaan berkenaan dipamerkan menerusi pameran automotif terbuka, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai, peminat sukan permotoran dan pelawat antarabangsa melihat koleksi kenderaan berkenaan dengan lebih dekat.
Majlis pelepasan konvoi disempurnakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) dan Ketua Sekretariat Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 Tourism Malaysia Mohd Akbal Setia, Presiden LOM Roslan Rosdi, wakil IOI Properties dan wakil YES Travel & Holidays Angela Mak.

Mengangkat tema “Art, Culture, Speed, Together” dan “Malaysia Moves Together”, Citrawarna Speed Festival 2026 menggabungkan elemen automotif, budaya, hiburan dan promosi pelancongan.
Penganjuran itu turut memanfaatkan tarikan sukan permotoran dan gaya hidup automotif bagi memperkenalkan Malaysia kepada khalayak lebih luas menerusi liputan media sosial serta platform digital.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, Malaysia merekodkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Penganjuran festival itu turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor berkaitan seperti hospitaliti, makanan dan minuman serta peruncitan di Putrajaya dan Sepang.
Menurut Akaun Satelit Pelancongan 2025, industri pelancongan menyumbang 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan RM323.0 bilion dalam Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI).
Citrawarna Speed Festival 2026 merupakan antara inisiatif yang menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027), yang memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan mampan serta mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, warisan budaya dan pengalaman pelancongan negara.
