BUKIT MERTAJAM – Kisah kejayaan Nurul Amani, pelajar SMK Penanti yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, menjadi bukti bahawa kesusahan hidup bukan penghalang kepada kejayaan. Anak angkat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, ini memperoleh keputusan cemerlang yang membanggakan, meskipun dibesarkan oleh ibunya seorang diri selepas kehilangan ayah enam tahun lalu.
Dalam catatan di media sosial, YB Steven Sim menceritakan bagaimana Nurul Amani, anak tunggal Allahyarham Zabani – seorang pemandu lori yang meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis – terus berusaha gigih. Ibu beliau, Puan Asma, menyara hidup dengan bekerja sebagai tukang cuci rumah orang, dengan pendapatan yang tidak menentu.
“Pagi minggu lepas, Amani mesej saya tunjukkan keputusan peperiksaannya cukup membanggakan. Saya tersenyum panjang, tapi saya tahu senyuman paling besar datang daripada ibunya,” kata YB Steven Sim.
Tahun lalu, semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Permatang Pauh, Amani memberanikan diri menceritakan kesusahan hidupnya, termasuk tidak mampu membayar kelas belajar motor. Keluhan itu menarik perhatian Perdana Menteri, yang mengarahkan pegawainya melawat rumah mereka. Dari situlah YB Steven Sim mengenali Amani dan mengambilnya sebagai anak angkat supaya beliau tidak lagi risau tentang kewangan untuk meneruskan pelajaran, terutamanya menghadapi SPM.
Selepas keputusan SPM diumumkan baru-baru ini, Amani bukan sahaja membuktikan kebolehannya dengan keputusan yang cemerlang, malah turut berkongsi impian besarnya. “Saya nak jadi seorang anggota polis forensik YB dan impian saya satu masa nanti saya nak sambung belajar di Universiti di negara China,” bisik Amani kepada YB Steven Sim.
Namun, di sebalik cita-cita yang tinggi, hati Amani tetap penuh kasih sayang terhadap ibunya. “Tapi saya tak mahu berjauhan dengan ibu saya. Kalau boleh saya nak sambung belajar di IPT sekitar Permatang Pauh saja supaya mudah saya berulang alik menjenguk ibu saya setiap hari,” katanya.
YB Steven Sim terharu dengan sikap anak angkatnya yang bukan sahaja bercita-cita tinggi, tetapi juga penuh kasih sayang. Beliau berbangga dengan Amani yang membuktikan bahawa keberanian, ketekunan dan disiplin mampu mengatasi segala cabaran.
“Dia tidak pernah mengeluh, malah sentiasa berusaha dan berdisiplin. Impiannya untuk menjadi polis forensik, sambung belajar di matrikulasi atau politeknik, dan suatu hari nanti menimba ilmu di universiti luar negara adalah bukti bahawa cita-cita tidak mengenal batas kemampuan,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan, YB Steven Sim menghadiahkan sebuah laptop kepada Amani sebagai permulaan untuk melangkah ke alam pengajian tinggi. Beliau yakin Amani akan terus maju dan menjadi simbol harapan bahawa anak dari keluarga biasa pun boleh berjaya jika diberi peluang.
“Jalan Teruih anak ku,” ucap YB Steven Sim dengan penuh kebanggaan.
Kisah Amani menjadi inspirasi kepada ramai, menunjukkan bahawa sokongan daripada masyarakat dan kerajaan boleh mengubah trajektori hidup seseorang, terutamanya anak-anak dari latar belakang kurang bernasib baik.
