Oleh Dr. Ariyanti Mustapha
Ungkapan di atas mungkin dilihat sebagai pertanyaan biasa yang lazim berlaku dalam interaksi harian, sama ada antara sahabat karib, ibu bapa dan anak-anak, mahupun guru dan pelajar. Namun demikian, pertanyaan sebegini secara tidak langsung mencerminkan sikap keprihatinan seseorang terhadap individu lain serta menunjukkan pemerhatian terhadap perubahan yang berlaku pada aspek tingkah laku, emosi dan percakapan seseorang. Walaupun amalan bertanya khabar kepada individu yang sedang berhadapan dengan kesukaran sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa, hakikatnya ia mampu memberikan kelegaan emosi dan ketenangan kepada mereka yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran kehidupan.
Dalam konteks semasa, peningkatan pelbagai isu kesihatan mental seperti kemurungan, tekanan emosi dan kesunyian tidak wajar dipandang ringan. Fenomena ini menuntut penglibatan aktif masyarakat dalam memupuk budaya prihatin, empati dan sokongan sosial terhadap individu yang menghadapi kesukaran.
Bagi menangani peningkatan isu tekanan emosi dan kesihatan mental dalam masyarakat, Kempen “Awak Okey Tak? Jom Kongsi” merupakan antara inisiatif proaktif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Kempen yang dilancarkan pada tahun 2025 ini bertujuan menyediakan ruang sokongan kepada individu yang berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan dan tekanan emosi melalui Talian Kasih 15999. Talian tersebut berfungsi sebagai platform utama yang membolehkan masyarakat mendapatkan bantuan, bimbingan dan sokongan psikososial apabila berdepan dengan masalah yang menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.
Dalam konteks masyarakat Barat, sentuhan fizikal seperti pelukan (hugging) sering digunakan sebagai salah satu bentuk sokongan sosial dan emosi untuk membantu mengurangkan tekanan perasaan. Sebaliknya, pendekatan yang diketengahkan melalui Kempen “Awak Okey Tak? Jom Kongsi” menekankan aspek komunikasi, empati dan kesediaan untuk mendengar sebagai medium sokongan kepada individu yang memerlukan bantuan.
Sejak diperkenalkan pada Januari 2025, sebanyak 52,801 panggilan telah diterima melalui Talian Kasih 15999. Statistik ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa terdapat ramai individu dalam masyarakat yang memerlukan sokongan emosi, ruang untuk berkongsi masalah serta seseorang yang bersedia mendengar dan memahami kesukaran yang mereka hadapi. Keadaan ini turut menunjukkan bahawa isu tekanan emosi dan kesihatan mental merupakan cabaran sosial yang memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak.
Selain menyediakan perkhidmatan kaunseling, platform tersebut turut menawarkan bantuan kebajikan kepada kumpulan sasar serta akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif, sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menangani pelbagai isu yang berkaitan dengan kesejahteraan individu dan keluarga secara holistik. Kempen tersebut mungkin masih baru dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih mempunyai sikap tertutup dan segan untuk berkongsi masalah dan tekanan emosi yang dihadapi, khususnya dengan individu yang tidak dikenali.
Sikap enggan mendapatkan bantuan atau berkongsi masalah ini boleh menyebabkan tekanan emosi yang dialami menjadi semakin serius dan sukar ditangani pada peringkat awal. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila masalah tekanan perasaan, kemurungan dan depresi dilaporkan semakin meningkat dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada fenomena tersebut ialah pengaruh media sosial yang digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Walaupun media sosial menawarkan pelbagai manfaat dari sudut komunikasi dan perkongsian maklumat, penyalahgunaannya boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi pengguna. Pelbagai kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial secara tidak terkawal boleh mendorong berlakunya buli siber, penipuan dalam talian serta fenomena ‘Fear of Missing Out’ (FOMO) dan berpotensi menimbulkan tekanan psikologi, perasaan rendah diri dan keresahan yang akhirnya menjejaskan kesihatan mental seseorang.
Selain itu, kecenderungan sebahagian remaja untuk memendam perasaan dan tidak berkongsi masalah dengan ibu bapa atau ahli keluarga terdekat turut menyumbang kepada peningkatan pelbagai isu kesihatan mental yang boleh mengakibatkan masalah seperti kemurungan, depresi dan kecenderungan untuk mencederakan diri berisiko menjadi semakin serius sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Dalam konteks ini, kewujudan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari berpotensi menjadi medium sokongan yang penting kepada individu yang memerlukan bantuan dan ruang yang selamat untuk meluahkan perasaan, berkongsi masalah serta mendapatkan bimbingan dan sokongan daripada kaunselor terlatih.
Begitu juga dengan tekanan emosi yang dihadapi dalam kalangan pasangan suami isteri yang berhadapan dengan pelbagai cabaran berkeluarga seperti kekangan kewangan, kecurangan pasangan, keganasan rumahtangga serta kesempitan hidup yang dihadapi. Krisis yang berlaku dalam institusi keluarga bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan suami isteri, malah turut memberi implikasi negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi anak-anak.
Persekitaran keluarga yang dipenuhi konflik, pertengkaran dan tekanan boleh menjejaskan kestabilan emosi anak-anak serta mempengaruhi pembentukan sahsiah dan kesejahteraan mental mereka. Pasangan suami isteri yang sepatutnya menjadikan pasangan sebagai teman untuk berkongsi masalah suka dan duka, pada akhirnya terpaksa memendam tekanan emosi berseorangan. Dalam konteks ini, perkhidmatan Talian Kasih 15999 berpotensi menjadi medium sokongan yang signifikan kepada individu yang memerlukan bantuan.
Selain menyediakan ruang untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah secara sulit, perkhidmatan ini turut membantu individu mendapatkan maklumat, nasihat dan rujukan kepada agensi yang berkaitan, termasuk bantuan kebajikan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Dalam konteks hukum Islam, Talian Kasih yang diperkenalkan melalui kempen “Awak Okey Tak? Jom Kongsi” oleh KPWKM adalah selaras dengan kaedah maslahah mursalah, iaitu penetapan hukum berasaskan kemaslahatan umum yang tidak bercanggah dengan syarak. Inisiatif ini membawa manfaat besar kepada masyarakat dengan menyediakan saluran bantuan 24 jam bagi individu yang berhadapan dengan tekanan emosi, kemurungan dan pelbagai cabaran kehidupan, sekali gus berperanan mencegah kemudaratan yang lebih besar seperti tindakan mencederakan diri atau bunuh diri.
Dari sudut maqasid al-syariah ia bertepatan khususnya dengan prinsip hifz al-nafs kerana turut merangkumi usaha memelihara kesejahteraan emosi dan psikologi manusia, bukan sekadar keselamatan fizikal. Justeru, Talian Kasih merupakan satu instrumen sosial yang menepati tuntutan syariah dalam usaha mengurangkan kemudaratan dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
