DARIPADA MUHAMMAD AFIFF MD ADNAN
NAGOYA, 22 Sept – Skuad sepak takraw negara mara ke separuh akhir acara regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas muncul juara Kumpulan B dengan kemenangan 3-0 ke atas India pada aksi terakhir kumpulan di Nagoya City Mizuho Arena, di sini hari ini.
Malaysia dijadual berdepan naib juara Kumpulan A, sama ada Korea Selatan atau Indonesia, pada aksi separuh akhir Khamis ini.
Regu pertama negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan trio India Malemnganba Singh Sorokhaibam, Arun dan Akash Yumnam 15-13, 11-15, 15-6.

Regu utama negara yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam kemudian memastikan mata kedua selepas menundukkan lawan 15-9, 15-12.
Muhammad Zarif Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan melengkapkan kemenangan Malaysia apabila menewaskan trio terakhir India 15-11, 15-5.
Malaysia sebelum itu membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah sebelum mengatasi Filipina dengan keputusan sama.
Kemenangan itu mengekalkan peluang Malaysia memburu emas acara regu berpasukan buat kali pertama sejak Sukan Asia Beijing 1990, iaitu 36 tahun lalu.
Ketua jurulatih sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun berkata beberapa aspek permainan perlu diperbaiki bagi memastikan pemain lebih bersedia menghadapi aksi separuh akhir.
“Secara keseluruhan kita berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain kita. Cuma ada elemen yang perlu kita tekankan untuk dibawa ke peringkat separuh akhir supaya tidak leka atau cepat hilang tumpuan.
“Mungkin dari segi tumpuan, variasi pukulan dan first ball kita agak kendur pada set kedua regu utama. Itu antara yang kita nampak,” katanya.
