KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa menziarahi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam satu hantaran di X, Zahid memberitahu bahawa petang tadi beliau telah meluangkan masa menziarahi Ahli Parlimen Bera itu.
“Saya mendoakan semoga beliau terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesembuhan yang sempurna,” tulis Zahid.
“Semoga beliau segera kembali pulih dan dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa, Insya-Allah.”
Hantaran tersebut disertakan dengan gambar menunjukkan Zahid tersenyum sambil memegang tangan Ismail Sabri yang sedang duduk di atas katil hospital.
Ismail Sabri dimasukkan ke IJN selepas mengalami masalah kesihatan pada 6 Ogos semasa merakam percakapan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau kemudian menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) dengan jayanya bagi merawat irama jantung yang tidak normal (aritmia).
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menangguhkan bacaan pertuduhan terhadapnya ke 27 Ogos selepas dimaklumkan mengenai keadaan kesihatannya. Pertuduhan itu dipercayai berkaitan dengan perkara perisytiharan harta yang dikaitkan dengan siasatan melibatkan inisiatif Keluarga Malaysia semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
IJN sebelum ini mengesahkan prosedur tersebut berjaya dan menasihatkan Ismail Sabri supaya berehat, dengan lawatan pada mulanya dihadkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
Lawatan Zahid ini berlaku beberapa hari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menziarahi Ismail Sabri di institut yang sama.
