KUALA LUMPUR, 28 Sept — Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada usia 100 tahun hari ini bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarga dan negara, malah menutup lembaran panjang kehidupan seorang doktor serta tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan, kebajikan dan kemasyarakatan.
Allahyarhamah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan merupakan antara wanita Melayu terawal mengikuti pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Beliau menamatkan pengajian perubatan pada 1955 sebelum menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Pada 1965, Allahyarhamah mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan dalam bidang Kesihatan Ibu dan Anak.
Sembilan tahun kemudian, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah pada 1974.
Sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan kesihatan awam, Allahyarhamah memberi perhatian khusus kepada masyarakat luar bandar, termasuk aspek penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak, pencegahan penyakit serta pendidikan kesihatan.
Beliau turut terlibat dalam isu kesihatan wanita dan perancangan keluarga selain memberi perhatian kepada faktor sosial dan ekonomi berkaitan kehamilan serta kelahiran.
Pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkenaan turut diterjemahkan melalui penulisan berkaitan perubatan keluarga dan kesihatan ibu.
Sebagai isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarhamah turut menggunakan kedudukannya untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan wanita, pendidikan, penyalahgunaan dadah dan kebajikan masyarakat.
Allahyarhamah juga aktif dalam pelbagai pertubuhan kemasyarakatan dan kebajikan, khususnya yang berkaitan wanita, kanak-kanak dan keluarga.
Perjalanan hidupnya menjadi antara contoh awal penglibatan wanita Malaysia dalam bidang perubatan dan perkhidmatan awam yang ketika itu banyak didominasi lelaki.
Selepas satu abad menjalani kehidupan yang sebahagian besarnya dicurahkan kepada keluarga, masyarakat dan negara, Allahyarhamah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.
Pemergian beliau meninggalkan legasi sebagai seorang doktor, tokoh kemasyarakatan, ibu dan isteri kepada seorang negarawan.
Al-Fatihah.
