Bjorn Again play at Crown, Perth, February, 2026.
KUALA LUMPUR Ogos 11, 2026 – Selepas lebih sedekad tidak menyapa peminat di Malaysia, kumpulan tribute ABBA yang diiktiraf secara rasmi, Björn Again, bersiap sedia menggegar Zepp Kuala Lumpur esok, 12 Ogos 2026, menerusi konsert Björn Again – The ABBA Forever Tour.
Membawakan nuansa disko dan pop era 1970-an yang segar, kehadiran kumpulan yang diluluskan oleh anggota asal ABBA ini dijangka menjadi penawar rindu buat peminat tegar lagu-lagu legenda Sweden berkenaan.
Mewakili kumpulan, Agnetha Falstart dan Benny Anderwear berkongsi rasa teruja untuk kembali bertemu penonton Malaysia yang terkenal dengan kehangatan dan tenaga luar biasa.
“Kami tahu penonton Malaysia adalah antara yang terbaik. Mereka suka menyanyi, menari dan bersenang-senang. Walaupun kami pernah membuat persembahan di Kuala Lumpur kira-kira 12 hingga 15 tahun lalu, kami sentiasa mahu kembali kerana kenangan indah terhadap tenaga dan kasih sayang penonton di sini,” kata Benny dalam sesi temu bual virtual.
Bagi Agnetha, biarpun Björn Again sudah beraksi di seluruh pelosok dunia selama 37 tahun, misi utama mereka tetap tidak berubah — menyebarkan kebahagiaan menerusi seni muzik ABBA yang tidak lapuk dek zaman.
Benny menekankan keunikan konsert Björn Again sebagai pertunjukan mesra keluarga yang merentasi jurang generasi.
“Di konsert kami, adalah perkara biasa untuk melihat dua hingga tiga generasi daripada keluarga yang sama hadir bersama. Daripada mereka yang membesar dengan lagu ABBA, peminat muzikal Mamma Mia!, sehinggalah anak-anak dan cucu mereka.
“Lagu-lagu ciptaan Benny Andersson dan Björn Ulvaeus bertahan merentasi zaman melebihi 50 tahun. Ia bukti kekuatan karya mereka. Tambahan pula, konsert kami adalah persembahan keluarga yang bersih, tanpa bahasa kesat atau unsur tidak sopan,” katanya.
Pelbagai elemen kejutan telah dirancang bagi memastikan persembahan berdurasi dua jam setengah itu memberikan pengalaman terbaik, termasuk penambahbaikan dari segi kostum, susunan muzik, serta pertunjukan lampu dan multimedia.
“Kami akan membawakan semua lagu hits seperti Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme! dan Take a Chance. Ada lagu disko, balada emosional, malah lagu berunsur rock.
“Bukan itu sahaja, penonton juga bakal dikejutkan dengan unsur jenaka, interaksi pentas dan kejutan santai yang akan membuatkan semua orang pulang dengan senyuman lebar,” tambah Benny.
Bagi menyemarakkan suasana retro, anggota Björn Again menggalakkan penonton mengenakan busana bertema 1970-an.
Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim, menzahirkan rasa gembira dapat membawakan konsert bertaraf antarabangsa ini ke pentas Zepp KL selepas persediaan rapi selama enam bulan.
Menurutnya, ganjaran terbesar bukan semata-mata kepuasan komersial, sebaliknya senyuman dan kenangan indah yang dibawa pulang oleh para penonton.
“Memang benar penganjuran konsert ada matlamat perniagaannya, tetapi ganjaran terbesar bagi kami adalah melihat riak wajah para peminat sewaktu meninggalkan dewan. Apabila mereka katakan ini antara malam terbaik dalam hidup mereka, itu mengatasi segalanya.
“Ia membuatkan segala persiapan, pelbagai halangan dan kerja keras berbaloi apabila objektif utama untuk membahagiakan peminat tercapai. Jarang sekali kita dapat saksikan konsert di mana tiga generasi boleh datang dan menikmati muzik bersama-sama,” ujarnya.
Tiket bagi konsert Björn Again – The ABBA Forever Tour masih boleh dibeli di www.ticket2u.com dengan senarai harga: RM600 (VIP), RM498 (Diamond), RM398 (Platinum), RM298 (Gold) dan RM228 (Silver).
Peminat dinasihatkan untuk segera mendapatkan tiket jika masih ada kekosongan, kerana malam penuh magis ABBA hanya tinggal satu hari lagi.
