Oleh Dr. Jessica Francis
WISeCare: A Wellness Integration for Seniors and Caregivers merupakan sebuah program kesihatan oral yang dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar prasiswazah tahun akhir Universiti Malaya dan pensyarah untuk inisiatif SULAM dan UMCARES, bertujuan memperkasa warga emas dan penjaga mereka dengan pengetahuan penting mengenai kesihatan mulut, penjagaan gigi palsu, dan kesihatan fizikal.
Di bawah penyeliaan pensyarah Fakulti Pergigian, Dr Jessica Francis, program ini telah diadakan pada 4, 7 dan 15 April 2026 di Kelana Jaya Multipurpose Hall dan PJ Senior Care Centres. Ia menghimpunkan pelajar, penjaga, dan penghuni dalam usaha kolaboratif untuk mempromosikan kesejahteraan holistik dalam kalangan warga emas.
WISeCare mempunyai satu matlamat sahaja – iaitu untuk membuat pendidikan kesihatan lebih mudah diakses, lebih interaktif dan seronok. Matlamat ini dicapai dengan mengaplikasikan pendekatan pelbagai deria dan penyertaan aktif, yang mana langkah-langkah pembersihan gigi palsu disampaikan menggunakan kad yang menarik secara visual.
Kad tersebut memudahkan peserta memahami mesej penting iaitu membantu mereka mengenal pasti masalah yang sering dihadapi oleh mereka yang memakai gigi palsu. Peserta juga mengetahui teknik penjagaan yang betul, dan mengingati rutin harian dengan lebih berkesan. Untuk menjadikan program lebih menghiburkan, program ini telah menggabungkan nyanyian sebagai alat pembelajaran. Sebuah lagu yang mudah diikuti untuk mengukuhkan langkah-langkah kebersihan gigi palsu, menjadikan pengalaman tersebut mudah diingati.


Bagi mengukuhkan pembelajaran, demonstrasi secara langsung telah dijalankan, membolehkan warga emas mempraktikkan teknik memberus gigi dan penjagaan gigi palsu di bawah bimbingan ahli WISeCare. Pendekatan praktikal ini memastikan ilmu bukan sahaja disampaikan, malah dapat diaplikasikan.
Selain kesihatan oral, WISeCare turut menekankan kepentingan aktiviti fizikal dalam mengekalkan keupayaan berdikari dan kesejahteraan keseluruhan, yang seterusnya menyumbang kepada kesihatan mulut yang lebih baik. Para peserta telah melibatkan diri dalam aktiviti exergame yang menggunakan kamera dan sensor pergerakan untuk mengesan pergerakan badan, menukarkannya kepada aksi dalam permainan yang mensimulasikan pergerakan sukan seperti tenis.
Aktiviti ini direka untuk meningkatkan koordinasi, keseimbangan, dan mobiliti dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. Walaupun ia merupakan pengalaman baharu bagi kebanyakan peserta, mereka jelas teruja, sekali gus menunjukkan potensinya sebagai satu bentuk senaman yang praktikal.
WISeCare juga telah berkolaborasi dengan London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia dalam menganjurkan latihan untuk para penjaga membuka ruang baharu dalam pembangunan kompetensi yang lebih menyeluruh. Melalui kerjasama ini, pendekatan latihan tidak hanya tertumpu kepada aspek klinikal semata-mata, tetapi turut mengintegrasikan kesejahteraan holistik sebagai elemen penting dalam penjagaan kesihatan.
Program latihan yang ditawarkan menekankan gabungan antara pengetahuan klinikal berasaskan bukti dengan kemahiran pengurusan diri, termasuk teknik hipnosis kendiri (self-hypnosis). Dengan penguasaan teknik hipnosis kendiri, peserta dapat mengawal tekanan, meningkatkan fokus, dan mengekalkan keseimbangan emosi dalam persekitaran kerja yang mencabar.
Kolaborasi ini juga mencerminkan keperluan semasa dalam sektor kesihatan yang semakin mengiktiraf kepentingan pendekatan holistik. Dalam dunia yang serba pantas dan penuh tekanan, profesional kesihatan bukan sahaja berperanan merawat penyakit fizikal, tetapi juga menyokong kesejahteraan emosi dan mental pesakit. Oleh itu, integrasi teknik seperti hipnosis kendiri dalam latihan profesional menjadi satu nilai tambah yang signifikan.
Melalui program ini, WISeCare dapat memperkasa warga emas untuk meningkatkan kesihatan mulut dan kesejahteraan keseluruhan dengan mengamalkan aktiviti-aktiviti bermanfaat ini dalam kehidupan harian mereka.

Penulis merupakan Pensyarah Pergigian dan Pakar Klinikal di Jabatan Ortodontik, Pergigian Kanak-Kanak & Pergigian Penjagaan Khas, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya
