PUTRAJAYA, 1 Mei 2026 – Malaysia meneruskan komitmennya dalam memperkukuhkan kerjasama serantau bagi menjamin keterjaminan makanan ASEAN susulan penyertaan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) yang diadakan secara maya pada 29 April 2026.
Mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat serta kesannya terhadap keterjaminan makanan serantau, termasuk implikasi terhadap sektor pertanian, perdagangan dan input makanan asas.
Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh daya tahan bekalan makanan ASEAN serta meningkatkan kerjasama serantau bagi menghadapi ketidaktentuan global.
“Malaysia menyokong usaha bersama ASEAN untuk mempertingkat kerjasama teknikal, pembangunan kapasiti serta pelaburan dalam sistem pertanian yang mampan, inklusif, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan regeneratif,” kata kementerian itu.
Kementerian menekankan kepentingan penyelarasan rentas sektor yang lebih kukuh dalam ASEAN bagi menangani cabaran saling berkait melibatkan keterjaminan tenaga, bekalan baja, logistik dan keterjaminan makanan secara menyeluruh.
Mesyuarat turut menetapkan Sekretariat ASEAN sebagai pusat penyelarasan untuk berhubung dengan pihak berkepentingan, rakan dialog dan kumpulan kerja sektoral yang berkaitan.
Selain itu, Malaysia turut berkongsi langkah kesiapsiagaan domestik dalam mengurus risiko luaran. Antara langkah yang dilaksanakan ialah pengaktifan mekanisme pengurusan krisis, mesyuarat pemantauan mingguan antara kementerian, serta penyelarasan rapat yang diterajui Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil dan tekanan inflasi dapat dikawal.
Komoditi keutamaan yang dipantau rapi termasuk ayam dan telur, sayur-sayuran terpilih, hasil perikanan serta beras. Faktor risiko utama seperti bekalan diesel, ketersediaan baja dan kos makanan ternakan juga terus dinilai dari semasa ke semasa.
Kementerian kekal komited melaksanakan perancangan proaktif, intervensi bersasar serta memperkukuh kerjasama ASEAN bagi menjamin keterjaminan makanan serantau, melindungi rantai bekalan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat ASEAN.
