Katowice, Poland, 3 Jun 2026 – Inovasi pendidikan The World History Exploration Challenge Board Game (ECS) yang dibangunkan oleh warga SMK Sungai Kapar Indah, Klang telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih Pingat Emas dalam 19th International Invention & Innovation Show (INTARG) 2026 yang berlangsung pada 2 hingga 3 Jun 2026 di International Congress Centre (MCK), Katowice, Poland. Selain itu, inovasi yang berjaya menjulang nama sekolah di persada dunia ini turut menerima anugerah khas daripada Haller Pro Inventio Foundation, World Invention Intelectual Property Association (WIPA), National Research Council of Thailand (NRCT) dan Indonesian Invention and Innovation Promotion Association (INNOPA)


Pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh Eurobusiness-Haller itu menghimpunkan para pencipta, penyelidik dan inovator dari pelbagai negara bagi mempamerkan hasil inovasi terkini dalam pelbagai bidang.
Inovasi The World History Exploration Challenge Board Game merupakan cetusan idea Mohd Zulhelmi Mansor bersama dua orang pelajar, Arjun a/l Mayavan dan Danarajan a/l Kumar. Permainan berkonsepkan fun learning education ini dibangunkan sebagai bahan bantu mengajar yang bertujuan meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam mata pelajaran Sejarah melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.


Menurut Mohd Zulhelmi, yang juga guru inovasi dan pembimbing pasukan tersebut, pembangunan ECS adalah hasil daripada pemerhatian serta penyelidikan berterusan bagi menambah baik kaedah pembelajaran Sejarah di sekolah. Beliau memaklumkan bahawa inovasi ini kini telah digunakan oleh lebih daripada 80 buah sekolah di seluruh Malaysia.
“Selain digunakan secara meluas di sekolah, satu kajian keberkesanan turut dijalankan oleh sekumpulan mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hasil kajian mendapati permainan ini berjaya memupuk sikap positif terhadap pembelajaran Sejarah serta meningkatkan keupayaan murid untuk memahami fakta, menghubungkaitkan peristiwa bersejarah dan mengembangkan kemahiran berfikir aras tinggi,” katanya.
Beliau turut berharap agar ECS dapat diperluaskan penggunaannya ke semua sekolah di seluruh negara serta dijadikan sebagai salah satu pertandingan koakademik pada masa hadapan, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun secara dalam talian. Menurut beliau lagi, kejayaan ini juga merupakan hadiah istimewa sempena Sambutan Jubli Perak Ke-25 Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj, Sultan Selangor, pada tahun ini. Delegasi daripada Malaysia ini sempat mengadakan pertemuan dengan Duta besar Malaysia ke Poland iaitu TYT Dato’ Azri Mat Yacob di Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw yang turut merasa bangga dengan kejayaan yang dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Sementara itu, Pengarah Program Inovasi Antarabangsa, Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Hasfazilah Hassan, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa inovasi pendidikan di peringkat sekolah mampu bersaing dan mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.
“Saya amat teruja melihat komitmen dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak, termasuk pengurusan tertinggi sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru serta seluruh warga SMK Sungai Kapar Indah. Kejayaan ini membuktikan bahawa kolaborasi yang mantap mampu menghasilkan inovasi berkualiti tinggi yang memberi impak kepada pendidikan negara,” katanya.
“Saya berharap agar budaya inovasi dalam kalangan sekolah di Malaysia terus berkembang dan lebih ramai pelajar serta guru berani menyahut cabaran untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Kejayaan inovasi tidak seharusnya terhenti di pentas pertandingan atau sekadar meraih anugerah. Inovasi yang sebenar ialah inovasi yang mampu menyelesaikan masalah masyarakat, memberi manfaat kepada industri dan seterusnya dikomersialkan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, sokongan semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, industri dan pelabur untuk bersama-sama menyokong usaha pengkomersialan hasil inovasi anak-anak Malaysia agar idea yang hebat dapat diterjemahkan kepada impak yang nyata amatlah penting. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan saintis dan penyelidik Malaysia, MARS komited untuk terus menyokong dan membantu institusi pendidikan negara khususnya dalam memperkasa inovasi serta mencapai kecemerlangan di persada dunia”, ujar beliau.
