KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri diarahkan mendapatkan pendirian rasmi secara bertulis daripada semua parti politik berdaftar berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu penting bagi mengenal pasti parti yang menyokong atau menolak cadangan berkenaan, termasuk alasan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.
Beliau berkata pandangan secara individu daripada pemimpin politik tidak memadai kerana ia tidak semestinya mewakili pendirian rasmi parti.
“Saya hendak minta jawapan secara bertulis daripada kira-kira 72 parti yang berdaftar. Kalau setakat tinjauan orang politik, kadangkala apa yang mereka cakap tidak mengikat parti politiknya.
“Jadi kita hendak (tahu pendirian) parti secara formal, bertulis, setuju atau tidak setuju (penggubalan RUU itu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Azalina berkata BHEUU telah melaksanakan 18 sesi libat urus, termasuk 12 sesi di peringkat negeri yang melibatkan 1,544 peserta terdiri daripada parti politik, agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil, sektor perniagaan dan belia.
Beliau berkata sembilan parameter dasar sedang diperhalusi menerusi proses berkenaan, termasuk skop pemakaian, badan kawal selia, sumber dan had sumbangan, larangan sumbangan asing serta saluran penerimaan dana yang boleh dijejaki.
Parameter lain meliputi pelaporan, pengauditan, pendedahan, kesalahan dan penalti.
Mengenai kelewatan penggubalan RUU berkenaan, Azalina menegaskan ia bukan disebabkan faktor politik, sebaliknya proses tersebut memerlukan penelitian dari aspek perundangan.
Beliau berkata agenda reformasi tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa semata-mata untuk memenuhi persepsi semasa, namun kekangan proses juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengahkan pelaksanaannya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian konvensyen itu, Azalina berkata pendanaan politik bukan sekadar melibatkan kewangan parti atau calon pilihan raya, sebaliknya berkait rapat dengan integriti demokrasi, akauntabiliti politik dan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan.
Beliau berkata ketiadaan kerangka perundangan yang jelas berhubung pendanaan politik boleh membuka ruang kepada konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa, rasuah politik dan pengaruh tidak wajar dalam proses membuat keputusan.
Azalina berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan reformasi berkenaan, dengan BHEUU mengambil alih kajian penggubalan RUU Pendanaan Politik sejak Mei 2023.
Katanya, Jemaah Menteri pada 8 Sept 2023 turut bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalan RUU tersebut.
Sebagai seorang pengamal undang-undang, Azalina berkata ketiadaan akta berkaitan pendanaan politik turut menyebabkan pihak yang menerima dana politik berisiko berdepan tuduhan rasuah.
Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila tujuan pemberian bantuan tidak diperjelas dan tiada rekod berkaitan seperti resit, jumlah atau butiran bantuan yang diberikan.
“Kalau tiada akta berkaitan dana politik, saya melihat banyak masalah akan wujud. Orang yang memberi bantuan dengan mudah boleh dilihat sebagai melakukan rasuah disebabkan niat pemberian itu tidak diperjelas,” katanya.
