KLANG, 24 Ogos (Bernama) — Secara tradisinya, apabila disebut warung cendol, imej pertama yang terlintas di fikiran adalah sebuah gerai ataupun lori kecil di tepi jalan, namun Warung Cendol Wak Paad menyanggah kelaziman itu.
Menjadikan rumah tradisional Melayu berusia 45 tahun sebagai tarikan, warung yang bertempat di Jalan Haji Musran, Kampung Rantau Panjang di sini memikat pelanggan bukan hanya dari sekitar Lembah Klang, bahkan ada yang sanggup memandu dari Melaka dan Johor.
Diusahakan oleh usahawan muda Siti Zulaika Supaad, 29, warung cendol ini turut menjadi “pangkalan” golongan muda, khususnya generasi milenial dan Z, bersantai menikmati kedamaian suasana desa selain meneroka era sebelum kelahiran mereka menerusi pelbagai hiasan zaman dahulu yang dipamerkan di rumah berkenaan.
“Yang saya mahu ketengahkan ialah kami menjual pengalaman. Sambil menikmati cendol, pelanggan juga dapat merasai suasana seolah-olah pulang ke kampung halaman, panorama desa yang kian sukar ditemukan, terutamanya bagi warga bandar,” ujar wanita itu ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
TERUSKAN LEGASI AYAH
Berkongsi lanjut, Siti Zulaika berkata rumah tersebut merupakan rumah lama yang didiami oleh beliau dan keluarga selama 45 tahun.
“Rumah ini kosong sebab saya, mak dan ayah tinggal di bahagian sambungan yang kami bina kemudian. Jadi, saya fikir, daripada terbiar begitu sahaja baik saya manfaatkan jadi sebahagian daripada warung.
“Sebelum ini saya buka warung di depan Surau Haji Musran, iaitu kira-kira 100 meter dari sini dan merupakan tempat ayah berniaga dulu. Selepas beberapa bulan berniaga di situ, saya ingin mencari kelainan dan dari situlah timbul idea memanfaatkan daya tarikan rumah pusaka ini,” katanya.
Mengimbas penglibatannya dalam perniagaan itu, lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan daripada Universiti Malaysia Kelantan tersebut berkata beliau cuma menyambung semula legasi perniagaan cendol bapanya Supaad Musran, 74.
“Ayah mula berniaga cendol pada 1990 untuk membesarkan kami tujuh beradik. Namun, pada 2004, ayah terpaksa berhenti berniaga kerana masalah kesihatan. Pada awal 2021, iaitu semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya baru tamat belajar dan sedang mencari kerja.
“Kemudian saya terfikir, daripada tidak melakukan apa-apa, baik saya jual cendol kerana itu adalah warisan keluarga. Saya juga tidak mahu resipi cendol keluarga terputus begitu saja,” ujarnya, menambah beliau kemudian menyuarakan hasrat itu kepada bapanya.
“Ayah ajar saya resipi itu dan cara membuat cendol. Kelainan cendol kami terletak pada air gula yang menggunakan resipi ayah. Saya penggemar cendol dan pernah makan di tempat lain, tapi rasanya tidak seenak air gula buatan ayah,” katanya yang juga anak bongsu dalam keluarga.
Menurut Siti Zulaika, selepas memahiri cara membuat cendol beliau memulakan perniagaan itu dengan modal sebanyak RM1,000.
KETENGAHKAN TRADISI
Menyoroti keputusannya menjadikan rumah pusaka keluarga sebagai warung, Siti Zulaika berkata ketika berniaga cendol di depan surau itu, ruang yang ada agak terhad dan pelanggan tidak mempunyai tempat yang selesa untuk duduk sambil menikmati hidangan.
“Selain itu, kita sedia maklum ramai saja orang yang berniaga cendol. Jadi saya mahukan pelanggan rasai tema berlainan ketika menikmati cendol dan saya teringat rumah lama keluarga,” katanya.
Ditanya mengapa beliau memilih konsep klasik berbanding tema moden dan hipster yang menjadi trend hari ini, Siti Zulaika berkata beliau sememangnya meminati sesuatu yang klasik.
Bagi merealisasikankan impiannya wanita itu melaburkan kira-kira RM20,000 dan menambah ruang di bahagian tepi bawah rumah yang dijadikan sebagai ruang dapur.
Beliau berkata ilmu yang dipelajarinya ketika menuntut di universiti banyak membantunya dalam merealisasikan konsep warung tersebut.
Walaupun pada awalnya timbul sedikit keraguan kerana rumah berkenaan terletak di kawasan yang agak terpencil dan di tepi jalan mati, Siti Zulaika menanam keyakinan konsep tersebut mampu menarik perhatian pelanggan.
“Saya pernah terfikir bagaimana pelanggan hendak tahu tentang lokasi ini kerana rumah kami berada di kawasan jalan mati. Namun saya yakin, sekiranya kita menawarkan perkhidmatan yang baik dan sesuatu yang berbeza, pelanggan pasti akan cari dan datang,” katanya.
Menurutnya, selain kawasan perkarangan belakang rumah, kebanyakan pelanggan memilih untuk duduk di atas pangkin yang disediakan di bawah rumah.
Mengulas dekorasi warung itu, Siti Zulaika berkata setiap sudut dihiasi dengan pelbagai barangan lama bagi membangkitkan suasana tradisi dan nostalgia.
Antaranya talam besi milik ibu dan neneknya yang digantung dan dipamerkan pada bahagian dinding luar rumah sekali gus memberikan nilai sentimental serta estetika tersendiri. Selain itu, sebuah skuter Vespa model lama yang diletakkan di depan rumah, menggamit memori generasi X yang membesar menyaksikan populariti kenderaan itu suatu masa dulu.
“Saya juga membeli beberapa barangan antik dan lama untuk melengkapkan dekorasi warung ini. Saya juga suka mengumpul barang-barang lama seperti kerusi rotan dan kain batik zaman dahulu.
“Warung ini menjadi pilihan pelanggan untuk merakam kenangan selepas menikmati juadah di sini,” katanya, menambah beliau mengekalkan reka bentuk asal rumah yang dibina menggunakan kayu meranti itu bagi memelihara nilai warisan dan identiti rumah tradisional Melayu.
TARIKAN MENU, KONSEP DULANG
Berkongsi lanjut mengenai menu yang ditawarkan, Siti Zulaika berkata selain cendol dan ais kacang, mereka turut menyediakan hidangan seperti laksa, mi kari, mi bandung, nasi lemak dan nasi ayam penyet.
Selain itu warung berkenaan turut menawarkan menu sampingan meliputi lempeng yang dihidangkan bersama-sama sambal bilis serta sajian masyarakat jawa iaitu tempe goreng yang dicecah dengan sambal kicap bercili.
Siti Zulaika turut mengolah sendiri beberapa jenis minuman seperti koktel jeli dan jeli longan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Dibuka dari 11.30 pagi hingga 5.30 petang setiap Selasa hingga Ahad, Warung Cendol Wak Paad menjadi lokasi singgah pelawat dari luar kawasan termasuk dari Singapura yang datang atas urusan kerja.
“Saya tidak menjangka sambutan begitu menggalakkan, dan saya akui pada awalnya memang banyak kelemahan. Namun, hasil teguran pelanggan, saya berusaha menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa,” katanya yang kini dibantu oleh tujuh pekerja.
Siti Zulaika juga merancang untuk menambah menu dengan menyediakan hidangan berdulang pada masa akan datang.
PILIHAN GEN Z
Warung Cendol Wak Paad juga mempunyai pelanggan tetap dari kawasan sekitar, antaranya Muhamad Qayum Muhamad Raif, 15, yang memberitahu Bernama dia sering berkunjung ke warung cendol tersebut dengan rakan-rakan selepas pulang dari sekolah.
Makanan kegemarannya ialah ABC (air batu campur) dan bubur nasi ayam.
“ABC di sini memang sedap. Selain itu saya juga suka makan bubur ayam,” katanya.
Remaja itu berkata dia juga menyukai konsep warung yang berteraskan suasana kampung kerana memiliki tarikan tersendiri.
“Saya suka konsep begini. Seronok dapat duduk di bawah (kolong). Tempat ini pun dekat dengan rumah. Saya selalu datang lepak bersama kawan-kawan,” katanya.
Minat remaja itu turut dikongsi oleh Hanis Zahara Muhammad Zahir, 17. Berbanding menghabiskan masa di kafe moden yang menjadi trend dalam kebanyakan remaja seusia, gadis ini lebih gemar bersantai di warung itu dengan rakan-rakannya.
“Kami lebih suka lepak di sini kerana suasananya lebih tenang dan seronok. Rasa macam duduk di rumah sendiri sambil makan dengan kawan-kawan.
“Di sini kami dapat selami suasana zaman datuk dan nenek ketika mereka muda dulu,” katanya yang datang ke warung tersebut sekurang-kurangnya seminggu sekali.
“Warung ini dekat dengan rumah, jadi keluarga pun tidak risau sangat kalau saya lepak di sini,” katanya yang gemar makan cendol dan laksa di warung itu.
— BERNAMA
Tag : warung cendol wak paad, warisan, tradisional, pengalaman, Siti Zulaika, sosial
