KULAI, 24 Ogos (Bernama) — Seorang pempengaruh permotoran merupakan antara lapan lelaki tempatan yang direman selama empat hari, bagi membantu siasatan kes menutup jalan untuk berlumba di lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada Sabtu.
Perintah reman bermula hari ini hingga Khamis (27 Ogos) terhadap suspek berumur lingkungan 26 hingga 45 tahun itu dikeluarkan Majistret R.Salini, selepas permohonan dibuat oleh pihak polis di Mahkamah Majistret Kulai, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, kesemua individu itu dibawa ke mahkamah berkenaan pada pukul 8.25 pagi, selepas ditahan semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata sekumpulan individu itu dipercayai menutup jalan dari kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO) di Linkedua untuk berlumba.
Beliau berkata mereka ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kerana dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kes berkenaan.
Kejadian itu turut tular di media sosial dengan rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu menahan pengguna jalan raya, supaya memberi laluan kepada mereka untuk berlumba.
— BERNAMA
TAG : reman, polis, lumba, Linkedua, Mahkamah Majistret Kulai
