KUALA LUMPUR, 23 0gos (Bernama) — Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGO (KMJG X JAGO) 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) hari ini menjelajah tujuh lokasi utama di sekitar ibu negara bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Konvoi itu melibatkan 10 kenderaan dan 35 peserta daripada tujuh agensi kerajaan iaitu Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Radio Televisyen Malaysia (RTM/KLfm), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Antara tarikan utama program kali ini ialah penggunaan kenderaan pelbagai guna (MFV) JAGO (JAPEN Arena Penggerak Komuniti) yang dilengkapi skrin LED gergasi bagi memainkan lagu-lagu patriotik sepanjang siri kembara berkenaan.
Laluan konvoi bermula di Pasar Taman Sri Sentosa, Lembah Pantai sebelum melalui Taman Tasik Metropolitan Kepong, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Hospital Rehabilitasi Cheras, PETRONAS Cochrane Perkasa dan berakhir di NZ Curry House, Wangsa Maju.
Majlis penutupan di lokasi terakhir diserikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan termasuk persembahan kompang, gendang India dan gendang Cina serta penyerahan Kit Jalur Gemilang.
— LAGI
JAPEN-KMJG 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu, Pengarah JAPEN WPKLP Normaizatulakmal Tujad berkata lebih 1,000 orang dianggarkan terlibat di sepanjang hentian konvoi itu termasuk kira-kira 250 yang menyertai acara di lokasi penutup.
Beliau berkata program di lokasi terakhir itu turut melibatkan pelbagai agensi melalui aktiviti pameran dan kemasyarakatan antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Parlimen Setiawangsa.
Normaizatulakmal berkata program berkenaan berjaya mencapai objektifnya berdasarkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat, namun beliau mengakui masih terdapat lokasi dan premis yang belum mengibarkan Jalur Gemilang.
“Bagi saya secara peribadi, ia menepati objektifnya. Kita lihat sepanjang perjalanan itu, apabila kita temui rakyat di lapangan, mereka masing-masing bersemangat.
“Namun, saya masih melihat bahawa ada lagi lokasi, premis yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan saya fikir semoga kita masih ada masa hingga 16 Sept ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis penutupan program itu.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil merasmikan pelepasan program KMJG X JAGO 2026 peringkat WPKLP di Pasar Taman Sri Sentosa, Lembah Pantai.
— BERNAMA
TAG: KMJG X JAGO 2026, JAPEN, konvoi, jalur gemilang, patriotisme
