CHUKAI, 23 Ogos (Bernama) — Pantai Teluk Kalong dekat sini kembali dicemari arang batu sejak tiga hari lepas dipercayai berpunca daripada sisa tumpahan daripada sebuah tongkang yang hanyut dan karam berhampiran pantai berkenaan pada Januari lepas.
Seorang penduduk Azhar Ngah, 64, berkata sisa pepejal berwarna hitam itu dihanyutkan arus ketika air laut pasang sehingga menjejaskan kebersihan serta keindahan kawasan peranginan berkenaan.
Azhar berkata kejadian sama pernah berlaku pada Januari lepas akibat tumpahan arang batu daripada tongkang berkenaan, namun telah dibersihkan oleh pihak terlibat.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan segera bagi menjamin kebersihan pantai serta keselesaan nelayan dan pengunjung,” katanya ketika ditemui di Pantai Teluk Kalong, di sini hari ini.
Sementara itu, nelayan Mohamad Azrul Naim Rahim, 36, berkata dia terkejut melihat keadaan pantai berkenaan yang sebelum ini bersih, namun telah tercemar sejak tiga hari lepas.
— LAGI
ARANG BATU-CEMAR 2 (AKHIR) CHUKAI
Bagaimanapun, katanya pencemaran kali ini tidak serius berbanding kejadian pada Januari lepas.
“Namun, kami bimbang tumpahan sisa arang batu itu bertambah serius sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu Datuk Razali Idris ketika dihubungi berkata pihaknya meminta Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Pada masa sama, beliau berkata agensi terlibat telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Tindakan pembersihan perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan pantai terbabit merupakan antara lokasi tumpuan pelancong,” katanya.
Pada 12 Januari lepas, media melaporkan Pantai Teluk Kalong dekat sini dicemari dengan arang batu dipercayai berpunca akibat tumpahan muatan sebuah tongkang yang hanyut dan karam di kawasan berkenaan.
— BERNAMA
TAG: arang batu, Razali Idris, siasat, cemar, pantai
