KUALA LUMPUR, 9 Okt - Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2027. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA. Photographed By: MUSTAQIM KHAIRUDDIN
PUTRAJAYA, 10 Oktober 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik dan menghargai pengumuman Belanjawan Rakyat 2027 oleh Perdana Menteri yang melibatkan kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya.
Belanjawan 2027 bertemakan “Belanjawan Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” ini memperuntukkan sejumlah RM22 bilion kepada KDN, menandakan kenaikan RM800 juta atau 3.78 peratus berbanding RM21.18 bilion pada Belanjawan 2026. Peningkatan itu menggambarkan peranan penting KDN sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI dalam konteks memperkukuh perpaduan dan keselamatan negara.
Antara tumpuan utama termasuk memperkukuh kawalan sempadan dan pintu masuk antarabangsa, menangani jenayah siber serta seksual, dan memelihara kebajikan anggota penguatkuasaan. Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menerima perhatian melalui pewujudan aktiviti baharu di bawah Program 3: Pengurusan Pendaftaran, Imigresen, Kawalan Sempadan dan Pintu Masuk dengan peruntukan keseluruhan RM490 juta.
Antara butiran utama yang dinyatakan KDN:
- Pusat Respons Penipuan Kebangsaan akan membangunkan aplikasi AI untuk orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan berisiko, selain kemudahan pelaporan pantas serta integrasi data bagi mempercepatkan pengesanan cubaan penipuan dalam talian.
- Bahagian D11 PDRM sedang memperkasakan Sistem Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) dengan keupayaan AI, analitik lanjutan dan pemprosesan maklumat bagi menghasilkan amaran awal terhadap ancaman dan kes eksploitasi seksual kanak-kanak.
- Sebahagian daripada RM7.1 bilion diperuntukkan untuk pembelian dan penyelenggaraan aset polis serta badan beruniform KDN. Fasiliti baharu yang akan dibina termasuk Ibu Pejabat APMM Negeri di Tanjung Kupang, Johor; Kompleks Batalion 19 PGA Cheras; Pejabat Imigresen Keningau, Sabah; serta tiga Balai Polis di Sungai Rambai (Melaka), Tanjung Malim (Perak) dan Batu Lintang, Sri Aman (Sarawak).
- Sebahagian RM65 juta disediakan untuk memanfaatkan pesara polis yang terlibat melindungi khazanah biodiversiti negara.
- Sebanyak 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu bagi memperkukuh operasi AKPS.
- Peruntukan RM1.1 bilion untuk memperhebat keupayaan badan penguatkuasaan termasuk PDRM.
- Kenaikan elaun penugasan kepada RM9 sejam bagi petugas sukarelawan termasuk anggota RELA dan sukarelawan polis.
KDN menyatakan peruntukan tersebut memperlihatkan pendekatan kementerian yang mengadaptasikan aplikasi AI serta mengambil kira elemen pencegahan dan amaran awal dalam operasi penguatkuasaan. Pelaksanaan berasaskan outcome akan menjadi keutamaan bagi memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan serta manfaat nyata kepada rakyat.
“KDN merakamkan penghargaan atas perhatian dan keutamaan yang diberikan oleh Kerajaan terhadap aspek keselamatan negara melalui Belanjawan 2027. Kelulusan peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh kesiapsiagaan KDN dan agensi-agensi di bawahnya,” menurut kenyataan kementerian itu.
KDN juga kekal komited memastikan Malaysia terus aman, selamat dan sejahtera melalui penguatkuasaan berkesan, penggunaan teknologi optimum serta penglibatan masyarakat sebagai rakan strategik.
