PUTRAJAYA, 11 Oktober 2026 – Kementerian Digital menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI dalam Belanjawan MADANI Kelima bertemakan “Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi” yang dibentangkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober, bagi memacu transformasi digital negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030 berasaskan kerangka Malaysia Digital yang inklusif.
Melalui belanjawan berkenaan, kementerian menerima tumpuan khusus untuk memacu ekosistem digital nasional, memperkasakan bakat teknologi tempatan serta membina tenaga kerja bersedia masa hadapan.
Antara langkah utama, AI Malaysia Berhad diperkukuh dengan tumpuan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi, pengukuhan infrastruktur digital serta penciptaan ekosistem tadbir urus AI yang cekap dan selamat, ke arah melahirkan 200,000 tenaga mahir AI negara.
Bagi menyokong pertumbuhan sektor perniagaan tempatan, dana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) disalurkan untuk membantu 4,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerapkan keupayaan AI dan mengautomasi operasi mereka, di samping melatih serta memperakui 5,000 profesional AI.
Kerajaan turut mengumumkan lanjutan tempoh Pas DE Rantau. Pemegang Pas Nomad DE Rantau sedia ada yang telah mencapai had maksimum dua tahun kini layak menerima tambahan dua tahun lagi untuk terus tinggal dan bekerja secara jarak jauh (remote) di Malaysia.
Agenda pendigitalan sekolah pondok juga dilaksanakan menerusi kolaborasi JAKIM dan MDEC bagi menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru serta pelajar di lebih 300 sekolah pondok seluruh negara, bagi memastikan ketersediaan digital yang inklusif.
Inisiatif memperkasa kemahiran digital dan belia diluaskan melalui tambahan 100,000 langganan AI percuma yang merangkumi aplikasi AI popular termasuk ChatGPT. Pada masa yang sama, Platform Rakyat Digital memberikan akses kursus digital percuma untuk rakyat menguasai lebih 16,000 kursus dan Sijil Profesional bersama Coursera.
Kementerian Digital menegaskan langkah-langkah ini menterjemahkan falsafah “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dengan meletakkan Malaysia di persada teknologi tinggi global, sambil memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan digital. Kementerian bersedia menggembleng segenap keupayaan demi mempercepat agenda transformasi digital negara dan melonjakkan Malaysia sebagai sebuah Negara AI yang utuh menjelang 2030.
