KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 – Kerajaan MADANI mengekalkan komitmen terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menjadikan tahun 2027 sebagai Tahun PMKS Malaysia dalam Belanjawan 2027.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu memudahkan akses pembiayaan, meringankan kos perniagaan dan membuka lebih banyak peluang pasaran.
“Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu memudahkan akses pembiayaan, meringankan kos perniagaan dan membuka lebih banyak peluang pasaran. Justeru, tahun 2027 disifatkan sebagai Tahun PMKS Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari segi pembiayaan, kerajaan meningkatkan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk perniagaan, termasuk PMKS dan syarikat pertengahan, daripada RM50 bilion pada 2026 kepada RM57 bilion pada 2027. Ia merupakan peruntukan tertinggi buat sektor PMKS dalam sejarah.
Bagi meringankan kos perniagaan, kadar cukai pendapatan PMKS dikurangkan sehingga dua mata peratusan. Langkah itu dijangka memanfaatkan kira-kira 300,000 PMKS dengan penjimatan cukai sehingga RM6,000 setahun.
Kerajaan turut menyediakan pembiayaan eksport sebanyak RM1 bilion melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) serta RM60 juta melalui MATRADE bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Langkah-langkah tersebut selaras dengan kerangka ABCD Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Steven Sim turut menyambut baik pengecualian PMKS yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada kenaikan gaji minimum RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027. Beliau juga menyokong cadangan pembentangan Rang Undang-Undang E-Dagang bagi memastikan persaingan yang adil untuk peniaga tempatan.
KUSKOP menerima peruntukan sebanyak RM1.028 bilion pada 2027 bagi memperkukuh pembangunan usahawan dan koperasi. Pada masa yang sama, Belanjawan 2027 menyediakan kemudahan pembiayaan, insentif cukai dan peluang pasaran untuk PMKS melalui pelbagai agensi kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Pendekatan whole-of-government ini memastikan usaha memperkasa PMKS dilaksanakan secara bersepadu. KUSKOP akan memperkukuh kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan supaya usahawan dapat mengakses kemudahan yang bersesuaian, tanpa terhalang oleh sempadan pentadbiran antara agensi,” katanya.
Antara langkah sokongan utama termasuk pelaburan domestik RM25 bilion oleh GLIC, peruntukan RM30 juta untuk membantu 4,000 PMKS menggunakan AI dan automasi, pembiayaan mikro RM6.6 bilion, jaminan pembiayaan RM32 bilion, serta peluang perolehan kerajaan RM7.5 bilion untuk kontraktor Bumiputera G1 hingga G4.
Langkah lain turut merangkumi diskaun sewa 50 peratus kepada lebih 10,000 peniaga kecil premis DBKL sepanjang 2027, elaun modal dipercepatkan, serta geran padanan sehingga RM5,000 bagi pensijilan halal buat kali pertama.
KUSKOP merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana terus memberi keutamaan kepada PMKS dalam Belanjawan 2027.
