KOTA BHARU, 30 Sept (Bernama) — Di sebalik bayang hitam yang bergerak di layar putih dalam persembahan wayang kulit, tersembunyi kerja tangan yang penuh ketelitian, bermula daripada sekeping kulit lembu hingga menjadi watak ikonik seperti Seri Rama dan Hanuman.
Bagi penggiat wayang kulit Kelantan, Kang Boon Ann atau lebih mesra dipanggil Che Ann, setiap patung bukan sekadar peralatan persembahan, sebaliknya hasil seni yang membawa identiti dan falsafah tersendiri.
Lelaki berusia 58 tahun itu antara segelintir masyarakat Cina Peranakan di Kelantan yang masih aktif mempertahankan seni warisan berkenaan.
Malah, kecintaannya terhadap wayang kulit turut diwarisi keluarganya apabila beliau melibatkan semua ahli keluarga dalam kegiatan seni tradisional itu menerusi Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu.
TIGA DEKAD MENGUKIR
Che Ann mula mengenali dan mencintai seni patung wayang kulit ketika berusia tujuh tahun.
Lebih tiga dekad kemudian, beliau bukan sahaja mahir menghasilkan patung, malah turut berperanan sebagai tok dalang Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu.
Ketika ditemui Bernama di bengkelnya di Kok Lanas di sini, Che Ann berkata setiap patung wayang kulit mempunyai ribuan lubang halus yang ditebuk secara manual, sekali gus menjadi antara elemen penting dalam persembahan.
Lubang itu membolehkan cahaya menembusi badan patung dan menghasilkan perincian wajah, corak pakaian, hiasan serta sisik naga apabila bayangnya dipancarkan pada kelir atau layar putih.
Menurutnya, patung wayang kulit lazimnya dihasilkan daripada kulit lembu kerana teksturnya sesuai untuk proses mengukir dan menebuk.
“Kita guna kulit lembut kerana sifat semula jadi bahan itu paling sesuai untuk membuat patung wayang kulit, terutama watak utama.
“Kulit kambing terlalu nipis dan hanya sesuai untuk watak sampingan bersaiz kecil, manakala kulit kerbau terlalu tebal. Kulit lembu tidak terlalu tebal atau terlalu nipis,” katanya.
PROSES PENUH KETELITIAN
Penghasilan patung bermula dengan kulit lembu yang dikeringkan di bawah cahaya matahari sehingga benar-benar kering.
Che Ann berkata proses itu mengambil masa kira-kira sebulan jika cuaca panas sebelum bulu dibuang secara manual dan lakaran watak dibuat pada permukaan kulit.
Selepas itu, proses mengukir bermula.
Dengan hanya menggunakan paku pelbagai saiz dan tukul besi, ribuan lubang kecil ditebuk pada permukaan kulit bagi menghasilkan motif bunga, pakaian tradisional, mahkota dan aksesori setiap watak.
Menurut Che Ann, kesilapan kecil ketika menebuk boleh menjejaskan keseluruhan corak ukiran.
Beliau mengakui penggunaan mesin moden mampu mempercepatkan proses, namun hasil ukiran tangan tetap mempunyai nilai dan kehalusan tersendiri.
Tempoh menghasilkan sesuatu watak pula bergantung kepada tahap kerumitannya.
Che Ann mampu menyiapkan sehingga tiga watak ringkas seperti rakyat biasa atau pengasuh dalam sehari.
Sebaliknya, watak utama seperti Seri Rama atau struktur kompleks seperti Pohon Beringin dan Istana boleh mengambil masa sehingga seminggu.
“Watak-watak utama ini mempunyai banyak ukiran bunga dan corak halus, jadi memerlukan sepenuh tumpuan,” katanya.
IDENTITI SETIAP WATAK
Bagi Che Ann, mempertahankan tradisi wayang kulit Kelantan bermaksud mematuhi asas dan identiti yang diwarisi daripada tok dalang terdahulu.
Katanya, setiap watak mempunyai warna, bentuk dan falsafah tersendiri yang perlu dikekalkan.
“Misalnya, watak Seri Rama mesti warna hijau, manakala adiknya, Laksamana pula warna merah.
“Kalau kita tukar sesuka hati, kita sudah lari daripada paksi watak asal,” katanya.
Menurutnya, dunia wayang kulit mempunyai lebih 100 watak yang menggambarkan pelbagai lapisan kehidupan manusia, termasuk pemerintah, rakyat, golongan tua, orang muda, protagonis dan antagonis.
Bagi watak sekunder, beliau masih mempunyai ruang untuk bereksperimen dengan warna, namun motif tradisi tetap perlu dihormati bagi memastikan identiti wayang kulit Kelantan kekal apabila dipancarkan pada kelir.
WATAK IKONIK JADI PILIHAN
Walaupun persembahan pentas berdepan pasaran yang bergerak perlahan, permintaan terhadap patung sebagai cenderamata dan koleksi seni masih diterima.
Che Ann berkata promosi menerusi platform digital, termasuk demonstrasi pembuatan patung dalam siaran langsung, membantu menarik tempahan pelanggan.
Watak Seri Rama, Sita Dewi, Hanuman Kera Putih dan Rawana antara yang paling kerap ditempah.
“Kebanyakan orang membeli untuk dijadikan koleksi peribadi atau hiasan di rumah dan galeri. Mereka menghargai nilai seni ukiran pada setiap watak,” katanya.
Tempahan turut diterima dari luar negara seperti Singapura dan Switzerland, terutama bagi patung bersaiz kecil yang lebih mudah dibawa pulang.
Dari segi harga, struktur besar dan rumit seperti istana dijual sekitar RM600, manakala watak lain antara RM300 hingga RM550 seunit.
Walaupun hasil karyanya berpotensi dijual pada harga lebih tinggi di pasaran terbuka, Che Ann memilih mengekalkan harga berpatutan supaya seni warisan itu terus mampu dimiliki masyarakat.
KEKANGAN BAHAN MENTAH
Namun, penghasilan patung wayang kulit kini berdepan cabaran mendapatkan bahan mentah berkualiti.
Che Ann berkata bekalan kulit lembu kampung semakin sukar diperoleh, manakala sebahagian kulit daripada lembu komersial mempunyai tekstur lebih berlemak dan kurang sesuai untuk proses mengukir.
“Lembu sekarang kebanyakannya diberi makan dedak komersial. Kesannya, kulit lembu menjadi terlalu berlemak, kurang tegap dan warnanya tidak begitu cerah apabila dikeringkan.
“Berbeza dengan lembu dulu yang makan rumput kampung secara semula jadi. Kulitnya lebih bersih, cerah dan sangat sesuai untuk diukir,” katanya.
Menurutnya, tekstur berlemak menyukarkan proses menebuk lubang dan menyebabkan penyerapan warna cat kurang sekata.
Bekalan kulit lembu kampung pula semakin terhad sehingga ada kalanya beliau perlu menunggu sehingga sebulan untuk mendapatkan sekeping kulit.
Katanya, struktur istana yang besar memerlukan hampir separuh daripada keseluruhan sekeping kulit lembu yang berkualiti.
Dari segi penyimpanan, patung wayang kulit mampu bertahan puluhan tahun tanpa bahan pengawet jika dilindungi daripada kelembapan.
“Pantang utamanya ialah air dan ruang lembap. Jika musim tengkujuh tiba, semua koleksi patung perlu dikeluarkan dari stor untuk dianginkan atau dijemur semula bagi mengelakkan serangan kulat,” katanya.
MENGUKIR UNTUK GENERASI BAHARU
Bagi Che Ann, usaha mempertahankan wayang kulit tidak akan lengkap jika kemahiran menghasilkan patung tidak diwariskan kepada generasi seterusnya.
Justeru, beliau turut mengendalikan bengkel pembuatan patung wayang kulit di sekolah, universiti dan program anjuran agensi kebudayaan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Menurutnya, pendekatan secara praktikal dan pendedahan menerusi platform digital penting bagi memperkenalkan proses pembuatan wayang kulit kepada generasi baharu.
“Orang kita kata, tak kenal maka tak cinta. Tugas saya sekarang adalah memberikan mereka peluang untuk kenal dahulu rupa bentuk proses pembuatannya.
“Bila mereka sudah cuba ketuk paku sendiri, baru timbul rasa hormat dan cinta pada seni ini,” katanya.
Selagi kudrat masih ada, Che Ann bertekad meneruskan kerja mengukir dan memperkenalkan seni itu kepada generasi baharu.
Baginya, setiap lubang yang ditebuk pada sekeping kulit lembu bukan sekadar membentuk watak di atas kelir, tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan warisan wayang kulit Kelantan terus hidup.
