PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) — Bayi yang dilahirkan di Malaysia pada 2026 secara purata dijangka hidup sehingga 75.5 tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Berdasarkan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2024-2026 yang dikeluarkan hari ini, bayi perempuan dijangka mempunyai jangka hayat lebih panjang iaitu 78.1 tahun, berbanding 73.2 tahun bagi bayi lelaki.
DOSM berkata Selangor mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2024 hingga 2026, manakala Terengganu merekodkan jangkaan terendah.
Tiga negeri mencatatkan jangkaan hayat melebihi paras nasional 75.5 tahun pada 2026, iaitu Selangor dengan 78.2 tahun, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (77.3 tahun) dan Wilayah Persekutuan Labuan (77.0 tahun).
DOSM berkata jangkaan hayat ketika lahir pada 2019 meningkat 0.4 tahun berbanding 2016, dengan jangkaan hayat lelaki meningkat daripada 72.1 kepada 72.5 tahun.
Jangkaan hayat perempuan turut meningkat 0.4 tahun dalam tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, jangkaan hayat ketika lahir pada 2022 menurun 0.9 tahun berbanding 2020, masing-masing dengan penurunan 1.0 tahun bagi lelaki dan 0.8 tahun bagi perempuan.
Pada 2026, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 1.5 tahun berbanding 2023.
Menurut DOSM, peningkatan itu didorong oleh penurunan jumlah kematian bagi tempoh 2023 hingga 2026 berbanding 2020 hingga 2022, ketika berlaku lebihan kematian semasa pandemik COVID-19.
Bagi 2026, lelaki yang mencapai umur 15 tahun dijangka hidup 59.0 tahun lagi, manakala mereka yang mencapai umur 60 tahun dijangka hidup 18.9 tahun lagi.
Ini bermakna lelaki berumur 15 dan 60 tahun pada 2026 masing-masing dijangka mencapai usia 74.0 dan 78.9 tahun.
Sebaliknya, perempuan berumur 15 tahun dijangka hidup 63.7 tahun lagi, manakala perempuan berumur 60 tahun dijangka hidup 21.7 tahun lagi.
Ini menjadikan jangkaan hayat bagi perempuan berumur 15 dan 60 tahun masing-masing 78.7 dan 81.7 tahun.
