YONGIN (Korea Selatan), 30 Sept (Bernama-Yonhap) — Dua ekor panda yang dilahirkan di Korea Selatan akan dihantar ke China pada Disember ini, menurut seorang pegawai taman tema Everland di Yongin, selatan Seoul.
Rui Bao dan Hui Bao dilahirkan pada 7 Julai 2023 dan perlu dihantar ke China sebelum mencapai usia empat tahun, ketika panda mula mencapai tahap kematangan untuk pembiakan.
China memiliki semua panda di dunia, termasuk yang dilahirkan di luar negara. Panda berkenaan ditempatkan di negara lain menerusi perjanjian pajakan.
Everland berkata tarikh perjalanan dan destinasi kedua-dua panda itu masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan dengan mengambil kira beberapa faktor, termasuk keadaan kesihatan mereka.
Taman tema berkenaan turut merancang mengadakan program perpisahan untuk pengunjung sebelum kedua-dua panda itu dihantar pulang ke China.
“Kami berharap orang ramai terus memberikan perhatian dan sokongan kepada permulaan baharu panda kembar ini,” kata seorang pegawai Everland.
Sebelum ini, Fu Bao, panda kelahiran Korea Selatan yang mempunyai ramai peminat di negara itu, dihantar pulang ke China pada April 2024 sebelum mencapai usia empat tahun.
