Penampilan Sulung Pelakon Indonesia Aghniny Haque Dalam Produksi Malaysia
KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Red Communications bersama Komet Productions tampil dengan teaser pertama bagi filem seram dramatik arahan Shamyl Othman berjudul Khadam, sebuah filem yang bakal menyentuh emosi penonton melalui penceritaan yang padat, disokong oleh lakonan penuh jiwa serta visual sinematik yang memukau.

Mengangkat tema saka dengan tagline “Jangan Sampai Jadi Tuan”, Khadam memberi peringatan bahawa sesuatu yang pada awalnya dianggap sebagai pembantu, akhirnya boleh menjadi kuasa yang mengawal. Dalam kepercayaan masyarakat tempatan, “Khadam” merujuk kepada makhluk halus atau jin yang mendampingi pemiliknya dan diwarisi secara turun temurun.
Teaser berdurasi 60 saat dilancarkan hari ini sebagai gambaran awal dunia Khadam. Ia memperlihatkan kehidupan sebuah keluarga yang pada awalnya tenang, perlahan-lahan berubah apabila satu entiti mula mempengaruhi dan menguasai kehidupan mereka.
Tonton teaser Khadam di sini: https://youtu.be/TRVcpC4E58o
Penerbit Eksekutif Lina Tan menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan gabungan tenaga kreatif di sebalik filem ini, khususnya Shamyl sebagai pengarah serta penulis skrip Fariza Azlina Isahak.
“Kami percaya Shamyl mempunyai visi yang jelas untuk dunia Khadam. Fariza pula kembali dengan sebuah naskhah yang lebih berani dan penuh emosi, dengan perjalanan cerita yang tersusun serta perubahan konflik yang tidak dijangka,” ujar Lina.
Pengarah Shamyl Othman menegaskan bahawa filem ini bukan bertujuan mempromosikan saka, sebaliknya menonjolkan akibat dan tanggungjawab yang datang bersamanya.
“Dalam Khadam, saka digambarkan sebagai gangguan yang mengambil ruang dalam diri seseorang secara perlahan. Sampai satu tahap, mereka sendiri tidak lagi pasti siapa diri mereka dan apa yang sedang menguasainya,” jelas Shamyl.
Menyentuh aspek lakonan, Shamyl menegaskan bahawa pemilihan pelakon menjadi asas kepada kekuatan emosi filem ini.
“Kami mencari pelakon yang mampu membawa emosi yang jujur dan kompleks. Setiap watak dalam filem ini memerlukan keseimbangan yang sangat halus antara apa yang dilihat dan apa yang sebenarnya berlaku di dalam diri mereka,” terang Shamyl lagi.
Khadam mengetengahkan Aghniny Haque, seorang pelakon dari Indonesia yang dikenali menerusi pelbagai filem ternama di sana menerusi watak-watak berat dan penuh intensiti. Dalam penampilan sulung beliau untuk produksi Malaysia, beliau melakonkan watak sebagai Melor, seorang wanita yang kelihatan tenang, namun menyimpan rahsia yang sukar dihuraikan. Kehadiran Aghniny dalam Khadam menjadi sebagai watak penting yang memainkan peranan utama dalam membentuk perjalanan emosi serta hala tuju penceritaan filem ini.
Digandingkan bersama Datuk Remy Ishak sebagai Awang, filem ini turut dibintangi Siti Khadijah Halim sebagai Manis (adik Melor), Zarra Zhaf sebagai Puteh (anak Melor), dan Karl El sebagai Hitam (anak Melor), dengan kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak. Hubungan antara watak-watak ini dibina secara kemas, menjadikan dinamik keluarga ini lebih realistik dan mudah dirasai, sekali gus menguatkan setiap konflik yang berlaku.
Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar memberitahu kekuatan Khadam terletak pada keseimbangan antara penceritaan, lakonan dan visual sinematik yang saling menyokong.
“Apa yang ditunjukkan dalam teaser ini hanyalah sebahagian daripada keseluruhan filem, tetapi ia sudah cukup untuk memberi gambaran awal tentang kekuatan visual Khadam. Daripada komposisi setiap babak hingga kepada penggunaan cahaya dan suasana, semuanya dibina dengan teliti untuk menyokong emosi cerita,” jelas beliau sambil memberitahu yang treler rasmi nanti akan memperlihatkan visual yang lebih terperinci serta nilai sinematik yang menyeluruh.
