Kuala Lumpur — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan terus menggiatkan operasi membanteras kegiatan penjaga parkir haram atau lebih dikenali sebagai ‘ulat parkir’.
Dalam Operasi Tindakan Khas Jaga Siri 3 Tahun 2026, DBKL berjaya menahan seramai lima individu di sekitar Jalan Ampang, Jalan Ipoh, Jalan Chan Sow Lin dan Medan Imbi, Bukit Bintang pada Khamis, 2 April 2026.
Daripada lima orang yang ditangkap, dua adalah warga negara tempatan manakala tiga lagi merupakan warganegara asing iaitu seorang dari Bangladesh dan dua dari India.
Kelima-lima individu tersebut dibawa ke mahkamah pada Jumaat, 3 April 2026 dan masing-masing dijatuhkan hukuman denda RM1,500 atas kesalahan mengarah atau menjaga kenderaan tanpa kuasa sah, mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
DBKL dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan (hotspot) yang telah dikenal pasti.
Orang awam yang mempunyai aduan atau maklum balas mengenai kegiatan penjaga parkir haram boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL di pautan berikut:
https://adukl.dbkl.gov.my/
Tindakan tegas DBKL ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membebaskan kawasan awam daripada aktiviti haram yang mengganggu keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di ibu negara.
