PUTRAJAYA 2 April 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April 2026.
Dalam rakaman video yang dimuat naik di akaun X rasminya malam tadi, Anwar berkata dasar itu diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebagai langkah segera dan berimpak bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta memperkukuhkan kelestarian bekalan tenaga negara.
“Tujuannya, mengurangkan penggunaan bahan api, memastikan kecekapan bekalan tenaga. Perincian lanjut akan diumumkan nanti,” katanya dalam rakaman berdurasi 36 saat yang menunjukkan beliau berucap di hadapan latar bendera Malaysia dan lambang kerajaan.
Anwar menegaskan bahawa butiran pelaksanaan akan dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.
Langkah ini diambil susulan keadaan tenaga global yang semakin tegang akibat konflik di Timur Tengah, yang turut menjejaskan harga minyak dan bekalan tenaga dunia.
Beliau turut menggesa sektor swasta turut mempertimbangkan pelaksanaan dasar BDR yang sama bagi menyokong usaha kelestarian tenaga negara.
Pengumuman ini selaras dengan komitmen kerajaan MADANI untuk menangani cabaran ekonomi dan alam sekitar secara holistik.
Rakaman penuh pengumuman boleh ditonton di https://x.com/anwaribrahim/status/2039500067145699646.
