CHUKAI, 7 Nov (Bernama) —Bangunan bekas Mahkamah Kemasik yang terletak di pekan Kemasik dekat sini, dipercayai dibina sekitar tahun 1860-an, dilihat mempunyai nilai sejarah tinggi dan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan di Terengganu.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu, Che Mat Nor Abd Llah, berkata beberapa struktur di atas Bukit Kemasik itu sudah runtuh dan terbiar tanpa sebarang kerja penyelenggaraan atau pemuliharaan, sehingga dikhuatiri tapak bersejarah itu akan hilang ditelan zaman.
Menurutnya, antara struktur asal yang masih dapat dikesan di tapak seluas kira-kira 223 meter persegi itu ialah bilik kebal atau lokap mahkamah, tapak asas bangunan, beberapa tiang serta anak tangga.
“Kawasan bangunan yang terletak di tanah milik kerajaan kini dipenuhi semak samun walaupun kedudukannya strategik di atas bukit di belakang Pejabat Pos Kemasik,” katanya ketika meninjau tapak tersebut.
Che Mat Nor menambah, berdasarkan rekod pentadbiran negeri dari 1921 hingga 1935, Kemasik pernah diiktiraf sebagai sebuah daerah atau jajahan penuh sebelum distrukturkan semula di bawah daerah Kemaman.
Sebagai daerah penuh pada ketika itu, Kemasik mempunyai infrastruktur pentadbiran sendiri termasuk pejabat daerah, mahkamah, pejabat Kastam dan balai polis. Mahkamah tersebut berfungsi mengendalikan kes sivil kecil, pertikaian tanah adat, kutipan denda serta kesalahan jenayah ringan melibatkan penduduk sekitar mukim Kemasik, Kertih dan Paka.
Hakim pertama Mahkamah Kemasik ialah Lebai Isa Muhamad yang berkhidmat dari 1864 hingga 1866. Selepas negara mencapai kemerdekaan, operasi mahkamah itu dihentikan dan semua fail, rekod serta bidang kuasa perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kemaman di bandar Chukai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili, berkata lokasi itu sesuai dibangunkan sebagai kawasan pelancongan bersejarah dengan membaik pulih beberapa struktur yang masih kekal seperti tangga dan bilik kebal.
Beliau menambah, kawasan bukit itu perlu dibersihkan dan dilengkapi kemudahan seperti pondok rehat, laluan pejalan kaki serta medan selera bagi menarik pengunjung, memandangkan lokasinya menawarkan pemandangan menarik menghadap perkampungan dan pantai.
“Usaha ini memerlukan perancangan rapi serta peruntukan kerana banyak kemudahan dan struktur tambahan perlu disediakan. Saya juga bercadang mengadakan gotong-royong bersama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan penduduk setempat dalam masa terdekat supaya tapak ini lebih terurus, bersih dan selamat untuk dikunjungi,” katanya.
Selain itu, Saiful Azmi berkata status pemilikan tanah kawasan tersebut perlu diteliti bagi membolehkan langkah pewartaan atau pewujudan rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dipertimbangkan, supaya kawasan itu kekal terpelihara.
