KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2026 — Penyanyi, usahawan dan jurulatih kehidupan bertauliah Nourul Depp sekali lagi dipilih menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) 2026, sekali gus meneruskan usaha memperkasa wanita menerusi pembangunan diri dan kepimpinan.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu akan berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober ini, bermula 9.30 pagi.
Selain Nourul sebagai penceramah jemputan, program tahun ini turut menampilkan Dato Sri Alha Alfa sebagai penceramah jemputan dan Atilia sebagai pengajar jemputan.

PERANTIS diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan wanita menerusi perkongsian ilmu, bimbingan dan pengalaman daripada pemimpin serta tokoh wanita berjaya.

Bagi 2026, KPWKM memperuntukkan RM4 juta untuk pelaksanaan program berkenaan dengan sasaran membabitkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.
Bagi Nourul, penglibatan semula dalam PERANTIS membawa makna lebih besar daripada sekadar pengiktirafan, sebaliknya menjadi peluang untuk membantu wanita mengenal potensi diri dan membina keyakinan.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama PERANTIS. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan sekadar tentang gelaran atau kedudukan.


“Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan dengan peluang yang diberikan untuk menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan memberi keberanian untuk melangkah ke hadapan,” katanya.
Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik, keusahawanan dan latihan profesional sebagai RMT Certified Life Coach, Nourul kini memberi tumpuan kepada pembangunan diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri dan transformasi peribadi.

Beliau merupakan pengasas Firetalk, platform pembangunan diri yang diasaskan daripada pengalaman hidup dan perjalanan transformasinya sendiri.
Menerusi Firetalk, Nourul mahu mewujudkan ruang untuk wanita mengenali diri, berdepan cabaran, memproses pengalaman hidup serta membina semula keyakinan diri.
“ Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala kepimpinan bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi.
“Apabila seorang wanita mengubah cara dia melihat dirinya, dia juga boleh mengubah cara dia melihat keluarga, kerjaya, perniagaan dan masa depannya,” katanya.
Perjalanan Nourul dalam industri muzik, keusahawanan dan bidang pembangunan diri turut menjadi asas kepada pendekatan beliau dalam membantu wanita mengenal kekuatan serta potensi diri.
Pada tahun ini, Nourul turut merealisasikan impian mengadakan konsert solo pertamanya, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur, sebagai antara pencapaian penting sepanjang perjalanan seninya lebih tiga dekad.
Menurutnya, setiap pengalaman hidup mempunyai nilai tersendiri dalam membentuk diri dan memberi perspektif baharu terhadap kekuatan serta potensi seseorang wanita.
Menerusi PERANTIS 2026, Nourul berharap dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dengan lebih ramai wanita.
“Saya mahu wanita tahu bahawa mereka tidak perlu kekal sebagai versi diri mereka yang dibentuk oleh masa lalu. Kita boleh berubah, kita boleh sembuh, kita boleh membina semula diri dan memilih arah baharu dalam hidup, tidak kira pada usia berapa pun.
“Saya tidak mahu memberitahu wanita siapa mereka sepatutnya menjadi. Saya mahu membantu mereka menemui siapa sebenarnya mereka dan potensi yang selama ini mungkin mereka tidak nampak dalam diri sendiri,” katanya.
Nourul juga merupakan penceramah yang diakreditasi HRD Corp serta terlatih melalui Robbins-Madanes Training.
Melalui Firetalk, beliau menggabungkan pengalaman dalam bidang seni, keusahawanan dan latihan profesional untuk membantu individu mengenal pasti kekuatan diri, mengatasi halangan dalaman dan membina kehidupan yang lebih bermakna.
Bagi Nourul, kepimpinan wanita bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya turut merangkumi usaha membuka ruang dan memberi keyakinan kepada wanita lain untuk turut melangkah ke hadapan.
