PENDANG, 25 Sept (LNA) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam soal kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, dan sebarang pertikaian melibatkan institusi diraja mesti diselesaikan mengikut Perlembagaan serta undang-undang.
Beliau berkata, dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini, sebarang tindakan terhadap seorang Raja tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, tetapi mestilah berasaskan peruntukan perlembagaan.
“Saya kata saya tidak campur tangan. Saya campur tangan apa? Undang sudah buat keputusan. Ada pihak menyokong mereka dan memberi pandangan, dan tiada masalah dengan itu. Saya tidak mahu campur tangan.
“Tapi walaupun dengan Undang, yang mana sah, yang mana tidak sah? Putuskan dan selesaikan itu,” katanya ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam tadi.
Anwar menegaskan isu melibatkan Raja tidak boleh dipandang ringan kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan.
Beliau berkata, sebarang tindakan untuk menyingkir atau menurunkan seorang Raja tidak boleh diambil secara mudah, sebaliknya tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh negeri.
“Bincang secara baik. Saya tidak setuju menurunkan Raja dengan mudah. Sistem kita tidak boleh berjalan begitu, sebab itulah Perlembagaan sangat jelas,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau dan Kabinet juga mempunyai had kuasa yang ditetapkan Perlembagaan, dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah perkara berkaitan institusi Raja-Raja Melayu.
“Perdana Menteri ialah ketua eksekutif yang mentadbir negara. Apa hadnya? Beliau tidak boleh meminda Perlembagaan mengenai Islam, bahasa Melayu, hak semua orang Melayu dan Raja-Raja,” katanya.
Prinsip itu, katanya, mesti dipertahankan supaya sistem Raja Berperlembagaan tidak terhakis oleh tindakan yang tidak mengikut saluran perlembagaan.
“Kalau kita boleh turunkan Raja dengan mudah, sistem beraja akan pupus di negara ini. Tapi saya faham rakyat, khususnya orang Melayu, dan ramai rakyat Malaysia termasuk orang Cina dan India, juga tidak mahu sistem ini diancam,” katanya.
Anwar menegaskan isu ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu politik, tetapi melibatkan sistem negara yang wajib dipertahankan.
“Kalau kita sebagai orang Melayu berpecah walaupun dalam soal Raja-Raja Melayu sebagai tiang sistem kita, bagaimana kita mahu orang lain hormat kita? Ini masalah kita, kerana kebencian, kemarahan dan perbezaan pendapat menyebabkan kita hilang pertimbangan dan akal,” katanya.
Dalam program sama, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan tambahan RM2.8 juta untuk membaiki infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah.
— LNA
Sumber: BERNAMA
