Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pelakon Indonesia Caitlin Halderman berharap penglibatannya dalam drama The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) membuka peluang untuk beliau mengembangkan kerjaya lakonan di Malaysia.
Drama 12 episod itu merupakan projek lakonan sulung Caitlin di negara ini dan pengalaman lebih sebulan menjalani penggambaran membuatkan pelakon berusia 26 tahun itu semakin selesa dengan budaya serta kehidupan masyarakat tempatan.
Caitlin yang membawakan watak Riska berkata pengalaman bekerja di Malaysia turut menyemai keinginan untuk kembali terlibat dalam produksi tempatan pada masa akan datang.
“Saya suka bila dapat bekerja di Malaysia sebab orangnya di sini baik, makanan pun boleh dikatakan comfort food buat saya dan membuatkan saya berasa seperti di rumah.
“Saya pernah ke sini sekitar empat tahun lepas tetapi hanya tiga hari, jadi belum begitu merasai Malaysia. Kali ini saya berada di sini agak lama untuk penggambaran dan dapat ikut cara orang Malaysia hidup,” katanya ketika ditemui selepas program Fokus 30 terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, semalam.
Caitlin berkata perbezaan bahasa turut menjadi antara cabaran sepanjang penggambaran memandangkan skrip asal ditulis dalam bahasa Malaysia, sedangkan watak Riska merupakan wanita Indonesia.
Bagaimanapun, beliau berkata keterbukaan barisan pelakon dan kru untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman industri membantu melancarkan proses penggambaran.
“Semua sangat terbuka untuk berkongsi idea dan cara berfikir, bertukar maklumat tentang industri Malaysia. Saya juga beritahu mereka tentang industri Indonesia.
“Kita berbincang hampir setiap hari dan tiada siapa yang memasang batas, semua terbuka untuk apa pun,” katanya.
Mengulas wataknya dalam drama berkenaan, Caitlin berkata adegan dirasuk merupakan antara cabaran paling besar sepanjang penggambaran kerana memerlukan tenaga dan penghayatan emosi yang tinggi.
“Kesurupan atau dirasuk itu pertama kali saya buat, jadi bagi saya itu paling susah. Kalau cerita seram, banyak yang memerlukan emosi dan tenaga lebih kerana ada aksi, kejar hantu, kesurupan dan sebagainya,” katanya.
Pengalaman sebagai bekas atlet polo air turut membantu Caitlin dalam bidang lakonan, terutama dari segi disiplin, kesabaran dan keupayaan untuk kekal aktif sepanjang menjalani penggambaran.
Caitlin yang pernah mewakili Jakarta dalam kejohanan kebangsaan pada 2015 berkata penglibatannya dalam dunia lakonan bermula secara tidak dirancang selepas beliau mencuba nasib dalam satu uji bakat iklan.
“Selepas terpilih untuk iklan itu, saya kemudian disuruh uji bakat filem dan terpilih juga. Dari situ saya fikir, seronok juga berada dalam dunia ini,” katanya.
The Hidden Hand mula ditayangkan pada 18 Sept menerusi platform Viu dan turut menampilkan Meerqeen, Hannah Delisha serta Datin Seri Umie Aida.
Drama berkenaan mengisahkan Riska, seorang wanita yang menyusup masuk sebagai pembantu rumah sebuah keluarga untuk membalas dendam selepas percaya keluarga berkenaan menjadi punca kehancuran hidup ibunya.
