KUALA LUMPUR, 25 Sept – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Okt untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes yang dihadiri peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
“Mahkamah menetapkan 14 Okt untuk pendengaran memandangkan sijil perakuan segera telah difailkan. Hujahan bertulis boleh difailkan pada bila-bila masa sebelum 14 Okt,” katanya.
Najib turut hadir pada prosiding berkenaan.
Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau disabitkan atas 25 pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda keseluruhan RM11.4 bilion, atau penjara 40 tahun jika gagal membayar denda.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa denda tambahan.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan hukuman 15 tahun.
Mahkamah turut menetapkan hukuman berkenaan hanya berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd yang dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Najib memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 29 Dis tahun lepas, namun ketika itu tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Status kes 1MDB dan rayuan Najib terhadap sabitan serta hukuman 15 tahun itu kekal berjalan secara berasingan.
Sementara itu, kira-kira 9.50 pagi, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, dilihat memasuki kompleks mahkamah bersama dua anak lelakinya.
Ketika ditanya mengenai pembayaran denda RM50 juta, beliau menjawab, “Saya tidak tahu.”
