DUNGUN, 22 Sept – Seekor penyu belimbing kembali mendarat dan bertelur sebanyak 70 biji di Pantai Kuala Abang di sini awal pagi tadi, menjadikan pendaratan ketiga spesies berkenaan di pantai Terengganu bulan ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata penyu berkenaan ditemukan pemajak telur penyu mendarat di Pantai Kuala Abang kira-kira 2 pagi sebelum kembali ke laut sekitar 5.30 pagi selepas selesai bertelur.
Menurutnya, penyu berkenaan berukuran 2.15 meter panjang dan 1.15 meter lebar.
“Telur penyu berkenaan telah dikutip petugas Jabatan Perikanan pada 6 pagi tadi untuk dieram di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu di Rantau Abang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pang berkata telur berkenaan dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan penyu itu merupakan individu sama yang sebelum ini mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 Sept dan Pantai Rantau Abang pada 13 Sept lepas.
“Pendaratan penyu belimbing di Terengganu sebelum ini direkodkan kali terakhir pada 2017.
“Tiga pendaratan yang direkodkan bulan ini merupakan perkembangan penting dalam usaha pemuliharaan spesies penyu terbesar di dunia itu di Terengganu,” katanya.
Pendaratan berulang dalam tempoh singkat itu turut memberi petunjuk bahawa perairan dan pantai Terengganu masih menjadi laluan penting bagi penyu belimbing untuk kembali bertelur.
